Malaysia Dateline

AMANAH terima kunjungan hormat PPP dari Indonesia

Parti Amanah Negara (AMANAH) menerima kunjungan hormat dari Partai Persatuan Pembangunan (PPP) dari Indonesia yang diadakan di Pejabat Wisma AMANAH, hari ini.

Kunjungan silaturahim tersebut bersempena lawatan kerja Setiausaha Agung PPP, merangkap wakil Ketua Majlis Permusyawaratan Rakyat Republik Indonesia, Datuk Seri Arsul Sani ke Malaysia.

Antara lain, pertemuan menyentuh tentang proses pembangunan dan pengurusan parti AMANAH, selain bertukar-tukar pendapat dalam perkembangan politik serta isu serantau.

Kedua-dua mereka turut meneliti perkembangan kerajaan Pakatan Harapan dari segi perlaksanaan polisi dalam negara, dan penyertaan anak muda dalam pergerakan parti politik.

Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar, berkata, pertemuan hari ini merupakan titik permulaan dan berterusan kepada parti AMANAH untuk menggarap hubungan akrab bersama rakan-rakan dari Indonesia.

“Pertemuan ini merupakan satu jalinan hubungan ukhuwah serantau. Saya dan rakan-rakan agak rapat dengan parti ini. Hari ini kita berurusan bagaimana sayap parti kita dan parti PPP dapat memantapkan lagi dan menyebarluaskan konsep Rahmatan lil Alamin ke serantau.

“Rombongan Indonesia dari parti berusia 47 tahun ini, diharapkan dapat membantu kami yang baru sahaja membangun selama empat tahun,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Rombongan dari parti yang hadir, termasuk Wakil Ketua PPP Perwakilan di Malaysia, Pak Mahsun; dan Ketua Jabatan Hubungan Luar Negeri DPP PPP, M. Zainul Arifin.

Manakala wakil AMANAH yang hadir, Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr Mohd Hatta Ramli; AJK Pimpinan Nasional AMANAH, Dr Hassan Baharom dan Ridzwan Abu Bakar; serta Ketua Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN), Aiman Athirah Al Jundi.

Selain itu, pertemuan turut membincangkan idea untuk melaksanakan program pertukaran yang membabitkan sayap parti antara kedua-dua negara, untuk bertukar pendapat tentang perkembangan isu politik dan ekonomi Malaysia-Indonesia.

Kunjungan hormat tersebut merupakan sebahagian program dalam rangka lawatan kerja Setiausaha Agung parti itu ke Malaysia yang dilihat mampu memberi dorongan baharu seterusnya mengukuhkan lagi hubungan persahabatan yang sedia wujud antara dua parti.