AMANAH terkejut, minta Cikgu Jaafar kaji balik perletakan jawatan

Khalid meminta Cikgu Jaafar mengkaji semula keputusannya.

AMANAH terkejut dengan keputusan Pengarah Pilihan Raya Selangor, Cikgu Jaafar Samsuddin yang meletakkan jawatan dan keluar dari parti itu.

Sehubungan itu, Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad meminta Jaafar mempertimbangkan semula tindakannya itu.

“Saya terkejut dengan keputusan Cikgu Jaafar ini dan merayu kepada beliau mempertimbangkan semula keputusan beliau itu.

“Jika ada apa-apa masalah yang berbangkit, dan berkecil hati dengan mana-mana pihak dalam AMANAH, saya berharap beliau sedia memaafkan pihak-pihak berkenaan,” kata Khalid mengulas keputusan Jaafar melepaskan jawatannya.

Pengarah Biro Pilihan Raya AMANAH Selangor Jaafar Samsuddin atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Jaafar meletakkan jawatannya berkuatkuasa hari ini.

Perkara ini dimaklumkan beliau sendiri kepada Malaysia Dateline petang ini.

Surat peletakan jawatan secara rasmi yang bertarikh 18 April 2018 itu sudah dihantar ke ibu pejabat AMANAH Negeri di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata, keputusan untuk meletakkan semua jawatan di dalam AMANAH dan tidak lagi sebagai ahli AMANAH hari ini, ekoran beliau merasakan suaranya tidak didengari dan usahanya tidak dihargai di kalangan pimpinan negeri dan diperingkat nasional parti.

Bagi Khalid, Cikgu Jaafar adalah petugas jamaah yang sangat baik dan tekun.

“Jasa beliau kepada AMANAH dan Pas sebelum ini dalam menguruskan kerja-kerja pilihan raya sangat besar,” kata Khalid.

Namun, jika Cikgu Jaafar kekal dengan keputusannya, beliau berharap hubungan beliau dengan AMANAH tidak terputus dan terus boleh bekerjasama.

 

 

 

8.2
OVERALL SCORE
: 7.0
5 user votes x 8.4