Malaysia Dateline

AMANAH terus berjuang tolak LGBT, kata Mahfuz

AMANAH menegaskan akan terus berdiri teguh bersama Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad untuk tidak mengiktiraf budaya Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) dalam negara ini.

Naib Presidennya, Mahfuz Omar berkata AMANAH menolak tuntutan kumpulan ini untuk membenarkan pengamalan dan pengiktirafan budaya LGBT dimana ianya bertentangan dengan agama, budaya, dan nilai diri.

“Sepanjang kita merdeka hampir 62 tahun, tidak pernah terjadi tuntutan terbuka sedemikian. Pelik tetapi itulah hakikatnya apabila tiada penegasan dibuat selama ini oleh pihak berwajib.

“Sesuatu yang amat malang bagi rakyat Malaysia apabila budaya ini cuba dicangkirkan atas nama hak asasi manusia.

“Perlembagaan Malaysia mengiktiraf hak rakyatnya. Namun hak-hak rakyatnya mempunyai had mengikut kerangka budaya resam serta agama,” katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena hari ini dalam kenyataannya  berkata, Islam mengiktiraf hak asasi manusia namun ianya perlulah selari dengan budaya dan tuntutan naluri sejagat.

Katanya, LGBT bukan sahaja bertentangan dengan agama, bahkan ianya juga bertentangan dengan budaya dan sistem nilai kemanusiaan samada di timur mahupun di barat.

“Tidak ada satu agama pun di dunia ini yang mengiktiraf LGBT.

“Saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menolak dan menangani isu dan budaya ini secara hikmah dan sihat tanpa mengorbankan keamanan dan perpaduan rakyat,”katanya.

Tambah kenyataan itu, usaha dan ikhtiar perlu dilaksanakan oleh semua dalam mendidik dan membimbing rakyat akan kesan kerosakan daripada pengamalan budaya LGBT ini selain memperkasakan sistem pendidikan.

Beliau juga mengucapkan syabas kepada kerajaan Pakatan Harapan kerana pendirian tegas tersebut menyebabkan penyokong LGBT membuat demonstrasi menuntut hak mereka dimana ianya tidak pernah berlaku di zaman Barisan Nasional (BN) kerana tiada penegasan dibuat sebelum ini.