AMANAH terus lebarkan sayap di Dun Sebuyau

AMANAH terus lebarkan  sayap di Dun Sebuyau

Parti AMANAH Negara terus melebarkan sayap di Sarawak apabila tiga cawangan berjaya ditubuhkan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Sebuyau hari ini.

Mesyuarat penubuhan telah dirasmikan oleh Setiausaha AMANAH Sarawak, Fadillah Sabali yang berlangsung di Kampung Lumut Baru Sebangan.

Menurutnya, tiga cawangan yang ditubuhkan itu ialah Kampung Lumut, Kampung Senayang dan Kampung Kelait.

“Sebelum ini satu cawangan telah pun ditubuhkan iaitu Kampung Seberang tetapi masih menanti kelulusan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

“Justeru, kita yakin banyak lagi cawangan di Dun Sebuyau akan ditubuhkan selepas ini sekali gus sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak akan datang, ” katanya.

Fadillah menegaskan, penubuhan cawangan haruslah dilakukan dengan baik supaya tiada timbul masalah untuk diluluskan oleh ROS nanti.

Katanya, sebagai permulaan sementara menunggu kelulusan pendaftaran, ahli jawatankuasa pro-tem boleh mengadakan program dan aktiviti sesama ahli bagi mendekatkan diri bersama dengan penduduk kampung masing-masing.

“Saya yakin ini merupakan pencetus kepada kampung-kampung lain untuk menubuhkan cawangan sekali gus mampu meningkatkan ahli-ahli parti kelak.

Sementara itu, Ketua Cawangan Dun Sebuyau, Maxwell Rojis berkata, penubuhan tiga cawangan terbabit adalah sebagai permulaan gerak kerja Biro Pilihan Raya AMANAH Sebuyau.

Tambahnya, dengan tertubuhnya cawangan tersebut, ia akan memudahkan gerak kerja jentera AMANAH untuk menyatuni penduduk dan masyarakat di kawasan itu.

“Selepas ini, saya berharap agar kita akan dapat menubuhkan cawangan lain di Dun Sebuyau terutamanya di kawasan pekan (pasar) yang didiami ramai penduduk,” ujar beliau yang juga merupakan Naib 2 Pengerusi AMANAH Sarawak.

Seramai 100 orang telah hadir pada mesyuarat penubuhan kali ini yang terdiri daripada ahli jawatankuasa pro-tem yang dilantik.