Malaysia Dateline

AMANAH terus terima keahlian baharu di Tanjung Manis, Sarawak

Parti AMANAH Negara terus mendapat tempat dalam kalangan penduduk Parlimen Tanjung Manis di Sarawak apabila tiga lagi cawangan baharu bakal ditubuhkan dalam masa terdekat ini.

Pengarah Komunikasi AMANAH Cawangan Tanjung Manis, Abu Tariq berkata, antara cawangan baharu yang dalam proses penajaan dan akan diluluskan ialah Belawai dan Jerijeh-Kuala Rajang.

Katanya, bagi cawangan yang telah diluluskan ialah Semop, Kuala Rajang, Muara Lassa, Sare, Kerubonh-Kerapa, Penipah-Betanak,Tekajong-Bruit dan Sebayang-Tusok-Stalon.

“Alhamdulilah…AMANAH kini merupakan sebuah parti yang semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat di kawasan Tanjung Manis.

“Setakat ini, jumlah keahlian AMANAH di Tanjung Manis sudah melepasi seramai 2,000 orang.

“Ini ditambah lagi dengan tertubuhnya dua cawangan baharu nanti iaitu di Belawai dan di Jerijeh-Rajang,” jelasnya.

Menurut Abu Tariq, pihaknya sentiasa konsisten dalam perjuangan menerusi pendekatan yang ramah dengan program-program yang tersusun serta memberi pencerahan berkenaan MySalam, PekaB40, Bengkel e-wallet.

Program lain, jelas beliau termasuk e-Penjana dan pendaftaran pengundi baharu sekali gus memberikan kelebihan kepada AMANAH Kawasan Tanjung Manis untuk terus dekat dengan penduduk.

“Rata-rata ahli baharu berasa bangga dan bersyukur atas kesediaan Parti AMANAH Negara menerima keahlian daripada kepelbagaian kaum dan latar belakang di kawasan ini.

“Justeru, kita akan terus bekerjasama dengan Cawangan Penaja untuk menyalurkan bantuan kebajikan, mengenalpasti pengundi, mendaftar pengundi baharu selain mengedarkan penutup hidung dan mulut dari rumah ke rumah,” kata Abu Tariq.