AMANAH tidak akan terperangkap dengan permainan politik perkauman

Oleh NASUHA RAHMAN

AMANAH merupakan sebuah parti yang mengangkat dasar perjuangan Islam dan apabila memperkatakan mengenai Islam sudah pasti ia turut mencakup kepentingan Melayu.

Malahan kaum atau bangsa bukannya alat untuk mendapat kuasa dan AMANAH tidak ingin terperangkap dalam permainan politik perkauman sepertimana yang dipermainkan oleh sesetengah pihak.

Menurut Ahli Majlis Pimpinan AMANAH Nasional, Faiz Fadzil, parti-parti purba menggunakan kaum dan agama sebagai candu politik.

“Sebagai sebuah parti baharu dalam negara, AMANAH perlu kekal relevan dalam ‘mainstream’ politik negara dengan mengangkat perjuangan yang lebih inklusif berasaskan prinsip dan nilai Islam, demokrasi, keadilan sosial dan integriti.

” Parti purba Melayu ternyata gagal membela nasib Melayu setelah banyak institusi Melayu dan Islam hancur disebabkan kegagalan pemimpin sebelum ini mengurus dengan baik.

” Kesannya masih ramai Melayu yang hidup susah dan ketinggalan dari sudut ekonomi, sosial dan pendidikan.

“Mengharapkan perubahan pada parti sedemikian adalah suatu kesilapan kerana bagi mereka ramuan sebenar ‘cash is king’ sudah menjadi resipi yang sebati, ” jelas beliau yang juga merupakan Adun Permatang Pasir.

Tegasnya lagi, pentadbiran ala dua darjat begitu ketara dan nasib rakyat tidak dipedulikan. Menggunakan dalil dan hujah untuk menutup kelemahan diri dan bukannya perjuangan Islam. Dikala rakyat mengibarkan bendera putih mengharapkan bantuan, ianya ditempelak kerana didakwa tidak syarie.

Kata Faiz lagi, dalam kelompongan umat Islam mencari rumah baru untuk berteduh, maka AMANAH perlu menjadi solusinya dan AMANAH tidak akan sesekali melakukan ketidakadilan kepada kaum lain.

“Sebenarnya, perjuangan membela Melayu bukanlah bersifat perkauman kerana apa yang mahu diangkat adalah martabat dan nasib hidup yang berdarahkan Melayu serta ekonomi, pendidikan dan kebajikan umat Melayu haruslah menjadi teras perjuangan,” katanya.

Beliau juga berkata, sifat keadilan sosial yang diperjuangkan AMANAH, akan dipandang tinggi oleh masyarakat kerana mereka yakin ‘jika anak sendiri boleh dijaga dengan baik, sudah pasti nasib kami juga selamat’ dan inilah yang harus didokong oleh AMANAH.