Amanah tidak harus salah sangka maksud ‘gencatan serangan’, kata Tuan Ibrahim

Amanah tidak harus salah sangka  maksud ‘gencatan serangan’, kata Tuan Ibrahim

Amanah tidak seharusnya salah sangka bahawa Pas akan kembali dalam Pakatan Harapan, sebaliknya kenyataan ‘gencatan serangan’ itu bagi menyatakan Pas tidak bersama BN dan pembangkang harus bersatu menjatuhkan BN, kata Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim.

“Kita bukan masuk Pakatan Harapan, kita dalam blok pembangkang, jangan katakan kita bersama BN.

“Walaupun kita tak dalam Pakatan Harapan, Pas blok ketiga yang kita akan perkasakan sebagai blok politik pembangkang,” katanya seperti dipetik Malaysiakini.

Ketika ditanya sama ada terdapat siri perbincangan bersama PKR dalam merangka rancangan menjatuhkan BN, beliau berkata, “kita dengan PKR ada hubungan tapi belum berjumpa. Sehingga kini belum ada pertemuan.”

Beliau juga dipetik berkata, seruan “gencatan serangan” sesama pembangkang dan menggembleng tenaga bersama untuk menumbangkan BN merupakan pendapat peribadinya sendiri.

Katanya, pendapat itu dikeluarkan memandangkan parti lain dalam pembangkang menyerang Pas dengan menyatakan parti itu bersekongkol dengan BN sebelum ini, sedangkan ia tidak benar sama sekali.

“Itu pendapat peribadi… kenyataan itu saya keluarkan, ia (atas) nama saya sendiri.

“(Pendapat saya) tidak bercanggah dengan prinsip dan konsep serta dasar parti kerana Tok Guru sebut mereka (pembangkang) selalu serang Pas, ia perlu dihentikan,” katanya kepada Malaysiakini selepas majlis himpunan NGO Islam sempena Aidilfitri di Pusat Islam malam tadi.