Malaysia Dateline

AMANAH tidak perlu melawan, Pas sendiri akan tertinggal ke belakang

Sejak sekian lama saya sangat teruja mahu bertemu mata dengan bekas Timbalan Menteri Pertahanan semasa zaman Pakatan Harapan (PH) memerintah, Liew Chin Tong. Beliau banyak menulis tentang idea-idea baru dalam pendekatan politik PH sama ada sebelum PRU Ke-14 mahupun selepasnya.

Walaupun beliau tidak dapat bersama menyertai angkat sumpah sebagai ahli Dewan Rakyat pasca-PRU, namun beliau dilantik sebagai ahli Dewan Negara mengisi jawatan selaku timbalan menteri.

Liew Chin Tong menerima surat perlantikan sebagai Timbalan Menteri dari Yang Dipertuan Agong.

Beliau telah berpindah untuk bertanding kerusi Parlimen Kulai ke Parlimen Ayer Hitam. Namun, beliau kalah tipis apabila berhadapan dengan Presiden MCA iaitu Datuk Wee Ka Siong.

Sebagai orang yang dipilih menganggotai Majlis Presiden PH, beliau sangat berperanan besar dalam memberikan buah fikiran agar PH terus bergerak sebagai pembangkang dan kerajaan. Tidak dinafikan beliau antara pemimpin PH yang awal dapat menghidu gerakan untuk menumbangkan kerajaan PH.

Pertemuan saya dan YB Senator disusun dalam tempoh seminggu. Walaupun beliau ahli Dewan Negara, tetapi semasa Dewan Rakyat bersidang, beliau turut berperanan dalam membantu ahli Dewan Rakyat PH.

Tambahan pula, persidangan kali ini berfokus kepada menilai Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Oleh itu, jadual perlu diaturkan bersama pegawai khas YB Senator untuk bertemu dalam keadaan YB Senator yang sangat sibuk.

Hati begitu teruja buat kali pertama melihat insan yang telah menjadi pembantu utama kepada Presiden AMANAH, YB Tuan Hj Mohamad Sabu di Kementerian Pertahanan Malaysia. Namun, kemesraan yang ditunjukkan oleh YB Senator membolehkan saya berada dalam keadaan lebih selesa.

Pas sebagai bahan kajian

Dalam perbualan tersebut, kemusykilan yang tersemat dalam fikiran saya adalah mengapa beliau telah memilih Pas sebagai parti politik yang digunakan sebagai kajian peringkat sarjana di Australia.

Jawapan beliau ialah Pas yang ketika itu merupakan parti Melayu kedua terbesar di Malaysia selepas Umno berpotensi untuk menjadi parti alternatif rakyat.

Tambahan beliau, parti pembangkang ketika itu harus bersatu untuk meruntuhkan hegemoni kerajaan Barisan Nasional (BN). Oleh itu, beliau yang menjadi anggota DAP perlu mengambil langkah kedepan dengan mengkaji isi yang ada dalam Pas supaya DAP dan Pas boleh bersatu pada titik persamaan untuk menumbangkan kerajaan BN.

Hasilnya berlaku kesepakatan politik atau tahaluf siyasi apabila Pas dan DAP duduk bersama dalam Pakatan Rakyat dengan PKR menjadi perantaranya setelah berjaya merampas empat negeri dari kerajaan BN.

Namun, kesepakatan ini tidak mampu bertahan lama dan Pas tercicir dari menjadi parti yang berjaya menumbangkan kerajaan BN di peringkat Persekutuan. Ertinya, pengetahuan yang YB Senator dapat dari kajian beliau terhadap Pas berjaya menjadikan Pas dan DAP sahabat dalam politik walaupun seketika.

Perpuakan dalam Pas

Melangkah kepada soalan yang lebih mencabar, dari kajian yang telah beliau lakukan, apakah dapatan yang beliau peroleh dari langkah ini?

Jawab beliau, Pas telah mempunyai dua kumpulan ahli yang mempunyai nilai fahaman yang berbeza antara mereka.

Satu kumpulan merupakan ahli yang melihat bahawa parti Islam perlu menjalinkan kerjasama pakatan politik yang lebih meluas bagi mendapatkan kepercayaan masyarakat.

Pas harus dilihatkan sebagai parti arus perdana di Malaysia. Ini bertitik tolak dari ucapan mantan Presiden Pas, Almarhum Ustaz Fadzil Noor ketika berucap dalam Muktamar Pas satu ketika dahulu.

Kumpulan kedua pula, membawa Islam sebagai satu nilai yang bersifat eksklusif untuk orang Islam. Nilai dan etika tidak boleh diubah mengikut konteks semasa dan mengamalkan cara ‘biar kalah asalkan mendapat pahala’.

Kedua-dua kelompok ini terbukti wujud dalam Pas apabila kelompok yang kalah secara terancang dalam pemilihan Pas 2015 menubuhkan Parti Amanah Negara (AMANAH). Maka selepas itu, isu perpuakan dalam Pas reda sama sekali.

Merintis semula kerjasama pembangkang

Menyingkap sejarah lalu, setelah DAP kalah teruk dalam PRU 1999, DAP telah memutuskan hubungan mereka bersama parti yang ada dalam Barisan Alternatif (BA).

Sejak itu, semua parti pembangkang tidak mempunyai kerjasama secara rasmi. Walaupun semua pimpinan pembangkang seperti Pas dan DAP mempunyai hubungan secara tidak rasmi berkaitan Parlimen dan kepembangkangan, namun wujud usaha dari pimpinan pembangkang termasuk YB Senator untuk mewujudkan sebuah pakatan pembangkang secara rasmi.

Oleh itu, satu mesyuarat sulit telah diadakan pada 2005 di Port Dickson yang disertai oleh pimpinan parti pembangkang. Dalam pertemuan tersebut, pimpinan pembangkang bersetuju untuk tidak menyerang antara satu dengan lain dan menjalankan kempen bersama dalam isu yang boleh dibawa bersama terutamanya Pas dan DAP.

Hasil pertemuan tersebut pembangkang telah bersetuju untuk melancarkan Gerakan ‘Bersih’ yang berfokus kepada kempen untuk memaksa kerajaan melakukan reformasi terhadap sistem pilihan raya di Malaysia.

Maka ‘Bersih’ telah dilancarkan pada 2006 di Parlimen. Tuan Hj Mohamad Sabu ditugaskan untuk menjelajah ke seluruh negara bagi menjelaskan peranan kempen ‘Bersih’ ini.

Kemuncaknya pada 10 November 2007, Gerakan ‘Bersih’ mengadakan perhimpunan secara besar-besaran di Kuala Lumpur. Kebetulan tiga minggu selepas perhimpunan ‘Bersih’ , HIDRAF juga mengadakan perhimpunannya.

Kedua-dua himpunan ini telah mempengaruhi keputusan Pilihan Raya Umum 2008 sehingga pakatan pembangkang berjaya menawan empat negeri dan mempertahankan kerajaan Negeri Kelantan.

Pengajaran dari Langkah Sheraton

YB Senator merupakan tokoh terawal yang dapat mengetahui bahawa ada konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan PH. Pada bulan Oktober 2019, seorang bekas pimpinan UMNO yang kini menjawat jawatan sebagai menteri dalam kerajaan PN pernah menulis sebuah rencana.

Rencana tersebut menyatakan bahawa akan wujud sebuah bangsa Malaysia tanpa DAP dan AMANAH. Dalam percaturan tokoh ini, kerusi yang dipunyai oleh DAP dan AMANAH sehingga terbentuknya kerajaan PH akan digantikan dengan kerusi dari GPS, Pas dan sebahagian dari Umno.

Rencana tersebut telah memberikan tekanan kepada pimpian Bersatu termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sehinggakan beliau Menteri Dalam Negeri ketika itu memanggil YB Senator dan menjelaskan bahawa ada tekanan dalam Bersatu untuk meminta DAP disingkirkan dari PH.

Dari tafsiran YB Senator ketika itu, Tan Sri Muhyiddin masih mahu DAP kekal bersama PH. Namun, apabila Bersatu mewakili PH kalah dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai menyebabkan tekanan kepada Bersatu untuk keluar PH semakin kuat dan akhirnya ‘Langkah Sheraton’ itu berlaku.

Bagi YB Senator, kesemua pimpinan PH termasuk Tun Dr. Mahathir dan Datuk Seri Anwar perlu mengambil pengajaran dalam hal ini. Diakui bahawa ‘Langkah Sheraton’ itu berlaku atas desakan pihak-pihak yang kalah dalam PRU 2018.

Namun ruang pengkhianatan itu terbuka lebih luas apabila isu kesefahaman antara Tun dan Anwar tidak diselesaikan secara tuntas dan kemas. Isu peralihan kuasa menjadi batu loncatan kepada parti-parti yang tidak mahu PH terus berkuasa termasuk menobatkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri untuk merampas kuasa dari PH.

Membuka lembaran baru politik negara

Berdasarkan pengamatan YB Senator, kerajaan PN akan memanggil Pilihan Raya Umum sebelum Ramadhan 2021. Maka mengikut perkiraan, PH hanya ada empat bulan lebih sebelum menghadapi PRU-15.

Tarikh PRU yang bakal diumumkan oleh kerajaan PN bergantung kepada kesepaduan pembangkang. Jika pembangkang tidak bersedia dan berpecah, maka PN yakin untuk masuk bertanding. Namun, jika PH dan pembangkang bersatu padu dan kuat, PN akan cuba menganjakkan tarikh lebih lewat lagi.

Harus ditekankan bahawa populariti Datuk Seri Najib Tun Razak meningkat bukan pada pengundi atas pagar, sebaliknya beliau mendapat kembali sokongan dari ahli-ahli Umno yang tidak mengundi beliau dalam PRU lalu.

Buat pengundi atas pagar, mereka masih mengambil sikap berjaga-jaga dan mahu melihat apakah pengakhiran kepada nasib mantan Perdana Menteri itu. Dengan itu ia menjadi penentu kepada sokongan pengundi atas pagar kepada Umno. Maka sama sekali, parti komponen PH tidak patut untuk bekerjasama dengan golongan kleptokrasi ini.

Apa yang diperlukan ialah semua parti pembangkang kembali duduk dalam meja rundingan dan menilai semula adakah pembangkang mampu menang dalam situasi sekarang. Jika tidak, sesuatu harus dilakukan untuk mengubah nasib ini. Kata YB Senator, walaupun pahit untuk diterima, kita perlu membuat keputusan sesegera mungkin dan maju kehadapan bersama.

Pengakhiran perbualan, YB Senator melontarkan sebuah agenda besar buat penyokong dan pendokong PH lakukan demi masa depan negara. Beliau menyatakan naratif politik baru harus dibina dengan melihat sesuatu itu kepada nilainya bukan kepada latar belakang agama, bangsa dan kepercayaan.

Kita harus bergerak sebagai parti politik merentas kaum dan agama demi memulihkan keadaan masyarakat. Walau siapa pun yang tersepit, ia harus dibantu.
Jika pemandu grab mengalami masalah dari segi kebajikannya dalam menjalankan tugas, kita tidak melihat pemandu grab itu Melayu atau Cina. Maka di situ sebuah dasar yang lebih besar perlu dibina untuk membantu pemandu grab ini.

Amat sukar untuk mengubah budaya ini, tetapi ia harus dimulakan dan harus dibangunkan oleh generasi muda hari ini. YB Senator melihat juga, AMANAH akan menjadi parti yang besar jika terus mengukuhkan idealisme dalam perjuangannya.
AMANAH tidak perlu melawan Pas, kerana jika AMANAH kukuh dengan idealismenya maka Pas sendiri akan tertinggal ke belakang.

Sesungguhnya pertemuan ini membuka minda penulis untuk melihat situasi politik itu dari pelbagai perspektif. Terima kasih YB Senator.

————————————

*SYAZMIR HARIZ NOORAZALAN merupakan AJK Biro Komunikasi Pemuda AMANAH Selangor dan Naib Ketua Pemuda AMANAH Gombak. Tulisan ini dibuat hasil temubual beliau dengan Pengarah Strategi DAP,  Liew Chin Tong.