Malaysia Dateline

AMANAH tidak pernah tolak ulama

AMANAH sebenarnya tidak pernah menolak ulama kerana dalam AMANAH sendiri, syarat menjadi ahlinya adalah rakyat Malaysia termasuk ulama.

Demikian diluahkan oleh Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Ustaz Ridzwan Abu Bakar.

Jelasnya, persoalan kenapa sedikit jumlah ulama dalam AMANAH adalah kerana ulama yang mencapai piawaian ulama sememangnya begitu sedikit dalam masyarakat.

Malah katanya, ramai ulama dalam masyarakat merupakan golongan yang disangkakan ulama, namun begitu sebenarnya mereka bukanlah ulama.

“Bukankah ramai calon AMANAH berhadapan dengan ulama ataupun lawannya adalah ulama. Apa pun latar belakang seseorang calon, hakikat yang mesti diterima adalah mereka itu adalah politikus dan AMANAH berdepan dengan mereka kerana mereka adalah calon parti dan bukannya kerana mereka itu adalah ulama.

“Di negeri Kedah, AMANAH bertanding 10 kerusi Dun dan menang 4 dari kerusi tersebut serta sekiranya dikira peratusan sudah tentulah ianya berjumlah 40 peratus. Manakala dari 4 kerusi yang dimenangi tersebut, AMANAH turut mengalahkan ulama (paling tidak pun adalah kerana mereka menyertai Dewan Ulama) Pas.

“Begitu juga bagi kerusi Dun Kota Siputeh, calon AMANAH adalah seorang Dr gigi berjaya mengalahkan Ketua Dewan Ulama Pas serta juga kerusi Dun Kubang Rotan calon AMANAH adalah seorang akauntan mengalahkan mantan Ketua urusan Ulama Pas Kuala Kedah,” tambah beliau.

Selain itu ujarnya, bagi Dun Alor Mengkudu pula calon AMANAH adalah seorang Ir turut mengalahkan mantan bendahari Dewan Ulama Pas Kedah dan bagi Dun Pengkalan Kundur pula calon AMANAH adalah seorang Dr perubatan dan memiliki rangkaian pusat dialisis mengalahkan mantan Ketua Dewan Ulama Pas Kedah.

Ia jua mempersoalkan apakah kerana itu boleh dianggap sebagai melawan dan mengalahkan ulama, sedangkan mereka semua adalah politikus yang datang dari pelbagai latarbelakang pendidikan dan latihan.

Sejajar dengan itu tegas beliau, AMANAH tidak sama sekali menganggap calon yang menang keatas para Asatizah(ulama) AMANAH adalah lawan sedangkan bagi AMANAH siapa pun yang memenuhi kriteria asas sebagai calon diberikan tempat sebagai calon termasuklah para ulama dalam AMANAH.

Tegasnya, AMANAH tidak memusuhi ulama, bahkan AMANAH meletakkan ulama pada tempatnya yang tersendiri sepertimana yang terbukti di Parlimen Parit Buntar, Hulu Langat, Tampin serta juga Dun Lenggeng Negeri Sembilan.