Malaysia Dateline

AMANAH tidak teragak tarik sokongan kepada Ismail jika DUN Johor dibubar

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub memberi amaran akan menarik semula sokongannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubar dalam masa terdekat.

Memetik laporan The Star, Salahuddin berkata beliau tidak akan teragak-agak untuk menarik balik sokongannya dalam memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Pakatan Harapan dan kerajaan Persekutuan sekiranya pilihan raya negeri diadakan.

“Situasi hari ini tidak sesuai untuk rakyat melalui pilihan raya negeri, lebih-lebih lagi isu banjir masih belum selesai dan penularan wabak Covid-19 masih berterusan.

“Mereka (kerajaan) perlu memikirkan rakyat secara serius.

“Jika mereka membubarkan DUN secara melulu di Johor dan kemudian di Perak atau negeri lain, maka saya akan menarik balik sokongan saya terhadap MoU yang kami berikan selama ini,” katanya kepada The Star.

Salahuddin, yang juga Ahli Parlimen Pulai dan ADUN Simpang Jeram menambah, Pakatan Harapan Johor telah menyokong kerajaan negeri walaupun berstatus majoriti satu kerusi.

Justeru beliau mempersoal apa tujuan untuk mengadakan pilihan raya negeri lebih awal.

Spekulasi pilihan raya negeri akan diadakan di Johor bertiup kencang selepas kematian ADUN Bersatu,  Datuk Osman Sapian bulan lepas.

DUN Johor mempunyai 56 kerusi terdiri daripada UMNO dan DAP masing-masing menyandang 14 kerusi, Bersatu (11), MIC (2), PAS (1), Amanah (6) dan PKR (7).

Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi pembangkang berikutan kematian ADUN Kempas yang juga bekas menteri besar Datuk Osman Sapian 21 Disember lalu.