Malaysia Dateline

AMANAH tolak keras pelan damai Trump, Netanyahu

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, Parti Amanah Negara (AMANAH) menolak keras pelan damai yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Selasa 28 Januari.

Kata beliau, Donald Trump bersama sekutunya, Benjamin Netanyahu mengumumkan pelan perdamaian bagi menyelesaikan konflik Palestin-Israel amat mengecewakan masyarakat antarabangsa.

Ujarnya, penetapan ibu negara Israel yang dipindahkan dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis bakal membuka peluang kepada rejim Zionis Israel untuk membelakangkan kedaulatan undang-undang antarabangsa lalu menindas penduduk Palestin.

“Walaupun Trump menganggap bahawa pelan tersebut memenuhi ‘situasi menang-menang’ melalui penyelesaian dua negara, hakikatnya, tiada perdamaian yang akan tercapai.

“Hak rakyat Palestin akan terus dicabuli manakala tanah-tanah milik mereka akan dirampas secara zalim. Bahkan inilah agenda licik Barat untuk menghalau rakyat Palestin dari tanah asal mereka termasuk di Lembah Jordan.

“Dunia tidak akan melihat kedamaian. Sebaliknya, tindakan kejam Washington bersama Tel Aviv akan menyaksikan lebih banyak serangan berdarah akan berlaku selepas ini bagi menuntut hak-hak rakyat Palestin yang telah ditindas oleh rejim Zionis Israel,” kata beliau yang juga Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar beliau, pengisytiharan yang dibuat oleh Donald Trump ini merupakan ‘Deklarasi Balfour Baharu’ yang akan memusnahkan impian dunia untuk melihat sebuah rantau yang bebas dari sebarang konflik dan pergolakan berdarah.

Dunia tambahnya, harus bangkit menyatakan bantahan bagi mencegah lebih banyak pertumpahan darah berlaku. Tiada keraguan lagi bahawa pengumuman Trump dan Netanyahu itu bercanggah dengan pendirian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu .

“Justeru, Parti Amanah Negara (AMANAH) bersama seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan mengajak dunia Islam, Timur dan Barat untuk bersatu hati menyatakan bantahan sekeras-kerasnya terhadap pengumuman tersebut,” kata beliau.