AMANAH tolak Pas sertai Putrajaya

AMANAH tolak Pas sertai Putrajaya

Parti Amanah Negara (AMANAH) menolak sekiranya wujud gerakan pengaturan semula lanskap politik Malaysia yang didakwa akan membawa Pas sertai kerajaan Persekutuan berikutan kemerosotan sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata, tiada faktor besar yang memerlukan kerajaan membuat keputusan sedemikian biarpun negara menyaksikan beberapa siri kekalahan PH dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) lepas.

“Kita tidak buat keputusan (terburu-buru) atas satu atau dua perkara yang berlaku. Kita tidak ambil faktor itu untuk buat keputusan besar walaupun saya akui kita harus lihat kepada PRK di Kimanis.

“Bagi saya tidak pelik apabila kemenangan (di Kimanis) berpihak pada Barisan Nasional (BN) kerana itu kubu kuat mereka.

“Jadi, tiada faktor besar untuk kita merombak muafakat yang ada pada hari ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Pusat Pemprosesan Unclean Raw Birdnest, di Netfarm International Sdn Bhd, hari ini.

Beliau berkata demikian yang mengulas pendedahan satu portal berita online yang mendakwa kebarangkalian Pas diberi peranan dalam kerajaan persekutuan buat pertama kali dalam 4 dekad.

Gerakan baru Mahathir-Pas itu dipercayai untuk menarik sebahagian sokongan orang Melayu-Islam untuk menyokong kerajaan.

Pada masa sama, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) itu juga berkata, AMANAH berpendirian untuk kekal dengan gabungan kerajaan PH yang telah diberi mandat dan kepercayaan oleh rakyat.

Beliau berkata, dengan pencapaian sederhana selama 20 bulan PH mentadbir negara adalah kejayaan yang boleh dibanggakan.

“Setakat ini sama ada di dalam kabinet mahupun di luar kabinet, kita masih PH. Kita berpendirian tegas untuk kekal dengan gabungan kerajaan ini yang telah diberi mandat dan kepercayaan oleh rakyat

“Tapi untuk merombak keputusan besar, saya rasa apa yang kita buat hari ini dengan pencapaian sederhana, kita boleh terus melakukan yang terbaik demi rakyat,” katanya.

Mengulas kemungkinan rancangan tersebut timbul disebabkan kebimbangan PH menjadi kerajaan sepenggal, Salahuddin menyangkal bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan berbuat demikian.

“Saya tidak rasa begitu. Saya rasa Dr Mahathir masih dengan kita dan kita pun akan terus bersama (menyokong) beliau,” tegasnya.