Malaysia Dateline

AMANAH tolak puak oportunis yang hanya cari pembangkang ketika terdesak

Dikenali antara pemimpin AMANAH dan Pakatan Harapan (PH) yang mesra rakyat serta ramah media, beliau sudah bergelar ‘Yang Berhormat’ sejak tahun 1999 lagi.

Sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betinanya. Tidaklah keterlaluan dikatakan beliau dan AMANAH boleh kenal siapa yang oportunis dalam ranah politik tanah air lebih-lebih lagi selepas Pakatan Harapan (PH) dikhianati setahun lalu.

Ikuti wawancara eksklusif MALAYSIA DATELINE bersama Naib Presiden AMANAH, DATUK MAHFUZ OMAR oleh wartawan SITI NUR ZAWANI MISCON yang mengupas sejauhmana persediaan parti untuk bertempur dalam gelanggang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ahli Parlimen Pokok Sena berkenaan juga berkongsikan pengalaman beliau sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia dan pandangannya terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengurus pandemik Covid-19 dalam konteks kelangsungan ekonomi negara.

Barisan ahli Parlimen AMANAH selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 26 Februari lalu.

MALAYSIA DATELINE: Apa pandangan YB apabila ada pihak masih menganggap AMANAH seolah-olah masih parti kecil yang tidak memberi sebarang sumbangan?

DATUK MAHFUZ OMAR: Tanpa AMANAH yang dianggap kecil dengan 11 ahli Parlimen ini, sudah tentu PH tidak boleh membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Jadi, itulah besarnya sumbangan AMANAH kepada PH. Walaupun tampak kecil, di dalam PH ini tidak ada abang besar.

Semua parti sama cuma kita tahu mana yang senior mana yang junior. Yang senior sudah tentulah kerana dia sudah lahir dulu.

Tiada siapa jadi abang besar tetapi kita berdiri bersama untuk membina masa depan negara pada landasan yang betul.

 

Adakah AMANAH sudah bersedia untuk bertempur pada PRU-15?

Kita bersedia untuk menghadapi pilihan raya tetapi jelas kita katakan bahawa ketika ini tidak ada keperluan untuk mengadakan PRU.

Yang penting pada kita sekarang ini ialah bagaimana untuk mengembalikan demokrasi dalam negara.

Perlunya kita mengembalikan fungsi Parlimen untuk melaksanakan proses semak imbang terhadap pengurusan eksekutif kerajaan yang memerintah hari ini.

Itu yang lebih penting. Jadi, kalau kerajaan merasakan bahawa yang lebih penting kepada mereka ialah pilihan raya, tidak mengapalah sebab kuasa ada pada Perikatan Nasional (PN).

Kalau Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk bubar, itu terpulang kepada dia. Kami tetap akan bersedia untuk menghadapi pilihan raya tetapi kita tegaskan bahawa sekarang bukan masanya.

Walaupun tiada keperluan PRU-15 diadakan dalam masa terdekat, AMANAH tetap bersedia dengan kemungkinan pembubaran Parlimen.

Bagaimana pula penerimaan AMANAH jika perlu bekerjasama dengan Umno pada PRU-15? Bolehkah AMANAH bekerjasama dengan Umno?

Apa yang penting sekarang, kita mahu mengukuhkan terlebih dahulu kerjasama dalam PH. Itu kesepakatan kita.

Kita mahu membina kekuatan yang telah pun kita gembelengkan pada PRU lalu supaya kita dapat jadi satu kumpulan yang besar atas sifat gabungan bersama dalam PH.

Umno sendiri masih tidak jelas hala tuju masa depan mereka. Kita biarkan mereka kerana mereka masih berada dengan PN.

Kita biar mereka tentukan masa depan mereka sendiri sama ada mahu terus kekal di sana atau tidak, walaupun mereka kata tidak akan bersama dengan PN. Tetapi sudah tentu mereka mempunyai hasrat mereka sendiri.

 

Jadi, AMANAH akan mengikut sahaja rentak Umno dan apabila mereka buat keputusan, baru AMANAH mahu buat keputusan?

Tidak, kita tidak mengikut (keputusan) mereka. Buat masa ini, kita sedang kukuhkan lagi gabungan PH.

Kita tidak mahu orang yang oportunis. Kita tidak mahu orang bersifat oportunis yang bila mereka dalam keadaan terdesak, mereka cari kita.

Kita mahu supaya PH menjadi benteng kekuatan untuk kepentingan membela masyarakat dan rakyat dalam negara. Umno dan PPBM (Bersatu) sekarang ialah golongan oportunis.

 

PH hilang kerajaan, rakyat hilang pekerjaan

Boleh YB kongsikan kejayaan dan pencapaian yang dapat dibanggakan sepanjang 22 bulan dilantik sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia? Bagaimana pula tahap pencapaian era PN sekarang?

Dalam tempoh setahun PH memerintah, tidak kurang dari 100,000 penambahan peluang pekerjaan yang kita berikan kepada rakyat Malaysia.

Tetapi hari ini, bukan setakat tiada peluang kerja, rakyat juga hilang pekerjaan. Ini bukan akibat dari masalah pandemik Covid-19, tetapi pengurusan wabak berkenaan dalam konteks ekonomi negara kita sangat lemah.

Contohnya, selepas ini rakyat bakal hilang pekerjaan lebih besar apabila sebuah kilang tayar milik Silverstone Malaysia Bhd (SSM) dilaporkan akan ditutup dan berpindah ke Indonesia. Maknanya hampir 1,000 orang pekerja akan terjejas.

Ini menunjukkan berlakunya krisis kayakinan akibat ketidakstabilan politik dalam negara yang menyebabkan rakyat Malaysia semakin banyak hilang pekerjaan.

Ini bukan kelemahan Kementerian Sumber Manusia, tetapi kelemahan pengurusan PN.

 

Projek utama YB semasa menjadi Timbalan Menteri?

Pertama, saya sangat memberikan tumpuan kepada soal latihan kemahiran. Saya diberi tanggungjawab untuk menjadi pengerusi kepada Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK) yang membabitkan sekurang-kurangnya lapan kementerian untuk mengendalikan soal berkaitan teknikal dan latihan vokasional (TVET).

Kita telah bercadang untuk melahirkan satu insan satu kemahiran. Kita nak bina kesedaran tinggi terhadap soal latihan kemahiran ini. Jadi, itu yang saya tumpukan.

Yang kedua, saya tumpu soal TVET untuk membantu anak-anak tahfiz. Bagi saya, kita tidak boleh membiarkan anak-anak tahfiz ini tiada masa depan. Kita kena berikan mereka masa depan dari sudut persaingan memasuki sektor pekerjaan.

Kita mahukan mereka ini masuk ke dalam pasaran pekerjaan dan bukan hanya setakat menjadi imam.

 

Selepas tidak lagi menjadi menteri, bagaimana YB meneruskan bantuan kepada rakyat?

Saya baru sahaja menyerahkan tablet untuk pelajar walaupun sekolah dah nak buka. Sebab saya janji, jadi saya beri.

Saya harap mereka akan manfaatkan walaupun sesi pembukaan sekolah bersemuka akan dibuat tapi ini boleh membantu mereka kalau berlaku keadaan yang menyebabkan sekolah ditutup semula.

Kebanyakan bantuan adalah dana sendiri. Pada masa sama, masyarakat turut menyumbang kepada pusat khidmat kami ini untuk membantu orang yang lebih memerlukan.

Itulah amalan saya semasa bukan jadi kerajaan dulu. Saya tidak tertekan sebab saya sudah ada pengalaman sebelum ini.

Mahfuz semalam menyampaikan sumbangan tablet untuk beberapa pelajar yang memerlukan bagi mengikuti PdPR.