AMANAH tubuhkan Jawatankuasa Khas India Muslim

Khalid bersalam dengan pemimpin dan ahli Jawatankuasa Khas India Muslim selepas memperkenalkan mereka dalam satu sidang media hari ini.

Parti Amanah Negara (AMANAH) secara rasmi menubuhkan Jawatankuasa Khas India Muslim sebagai satu unit khas dalam parti itu dan mengumumkan pimpinannya hari ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad dalam satu sidang media dan memperkenalkan pemimpin jawatankuasa itu hari ini.

“Mesyuarat pimpinan AMANAH kira-kira sebulan yang lalu telah bersetuju menubuhkan jawatankuasa ini sebagai satu unit khas dalam AMANAH dan hari ini kita umumnya pimpinannya,” kata Khalid dalam sidang media itu.

Dalam sidang media itu, Khalid mengumumkan penyertaan mereka dibuat sebelum pilihan raya umum ke 14 lagi dan bukan selepas pilihan raya.

Namun selepas pilihan raya, apabila Pakatan Harapan menang, semakin ramai yang menyertai unit ini dan kini keahliannya mencecah 5,000 ahli.

Dalam sidang media itu, Khalid yakin, nasib golongan India Muslim akan lebih terbela di negara ini apabila menyertai parti-parti yang telah ada bukan menyertai parti-parti kecil yang ditubuhkan berdasarkan kaum itu.

“Jika menubuhkan parti baru, ia tidak akan ke mana. Sudahlah kamu minoriti dalam masyarakat, parti pun minoriti. Jadi lebih baih menyertai parti yang dah ada dan perjuangkan kepentingan bersama-sama dengan golongan yang lain,” katanya.

Sebuah parti politik baharu yang dinamakan Parti India Muslim Bersatu Malaysia (PIBM) ditubuhkan baru-baru ini.

Presiden Penajanya, Datuk Jamarulkhan MS Kadir berkata, antara matlamat utama penubuhannya adalah untuk mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta menghormati kedudukan agama-agama lain di negara ini.

COMMENTS

Wordpress (0)