Malaysia Dateline

AMANAH tuntut Hishamuddin jelaskan mengapa tidak hadir perhimpunan PBB

AMANAH Pulau Pinang menuntut Menteri Luar, Datuk Seri Hishamuddin Hussein supaya tampil memberi penjelasan penuh ekoran tidak menghadiri sesi khas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berlangsung di New York bagi membincangkan konflik Palestin-Israel baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang diterima Malaysia Dateline hari ini, Naib Pengerusi AMANAH Pulau Pinang, Ustaz Ahmad Fahmi Abu Bakar, amat dikesali apabila himpunan PBB bagi membincangkan konflik berterusan antara Palestin dan Israel Malaysia hanya menghantar wakil sebagai pengganti dan bukan menterinya.

“Tindakan Hishamuddin yang tidak menghadiri perhimpunan PBB amat mengecewakan kerana isu ini melibatkan internasional yang membincangkan keharmonian dan keamanan sebuah negara dan hal ini tidak selaras dengan pendirian Malaysia sebelum ini yang sering dicanang-canangkan oleh Perdana Menteri akan meminta Israel segera menghentikan segera pencerobohan di seluruh penjajahan wilayah Palestin.

“Sebagai Menteri Luar, kita tidak mahu beliau hanya sekadar lagak hebat di kaca TV, sebaliknya pengecut untuk berhadapan dengan musuh. Malah sesi khas PBB tersebut adalah medan suara untuk membincang serta menyelesaikan konflik berterusan antara Palestin dan Israel di peringkat antarabangsa.

“Sedangkan rakan sejawat beliau dari negara luar seperti Indonesia, Turki dan Pakistan juga dilaporkan berada di New York bagi sesi khas tersebut dan ianya memalukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam dengan sikap tidak bertanggungjawab Hishamuddin sebagai Menteri Luar, ” tegas Ahmad Fahmi melalui kenyataan tersebut.