Malaysia Dateline

AMANAH tuntut kerajaan bentang rancangan tangani banjir di Parlimen

Pada sidang Parlimen yang akan datang, AMANAH akan menuntut kerajaan Persekutuan untuk membentangkan rancangan jangka pendek dan jangka panjang bagi menangani isu bencana banjir yang melanda seluruh Lembah Klang dalam tragedi Disember tahun lalu.

Presidennya, Mohamad Sabu berkata, Lembah Klang dikenali sebagai nadi ekonomi Malaysia di mana langkah menangani bencana-bencana besar yang boleh membantutkan pergerakan ekonomi negara, perlu dirangka segera.

“Parlimen akan bersidang 20 hari bulan. Kita akan tanya dan dengar apa langkah-langkah segera untuk masa 1 tahun, 5 tahun dan rancangan jangka panjang menghadapi peristiwa banjir kerana Lembah Klang adalah nadi ekonomi Malaysia.

“Sebarang kelemahan, pencemaran atau malapetaka besar di kawasan ini boleh jejaskan ekonomi Malaysia. Sudah tentu kita akan bertanya jawpaan pihak kerajaan tentang jangka pendek dan panjang untuk menghadapinya.

“Bila ada bencana besar, kita tak dapat elak turunnya hujan lebat. Kuantiti air tinggi yang sepatutnya dicurah setahun, tapi dicurahkan dalam satu minggu. Tetapi penyelesaian selepas itu yang penting,” katanya dalam siaran langsung ‘PM lemau, Kabinet lemah’ yang disiarkan di Facebook hari ini.

Sementara itu Mohamad mengingatkan bahawa kerajaan pernah berbelanja besar melebihi RM30 juta hanya untuk membaiki rumah perdana menteri yang bukan keperluan utama rakyat.

Justeru katanya, rakyat akan terus memerhati tindakan kerajaan dan pastinya mereka akan menyokong jika kerajaan menggunakan dana sepatutnya untuk membaiki infrastruktur negara bagi berhadapan dengan kemungkinan banjir besar.

“Kita harap tak kira mana-mana kerajaan memerintah, penyelesaian jangka pendek dan panjang itu mesti dirancang terutama di Lembah Klang,” ujarnya.