Malaysia Dateline

AMANAH tuntut Sarawak Report tarik balik atau buktikan tuduhan terhadap Agong

Sarawak Report digesa untuk mengemukakan bukti yang kukuh berhubung laporannya tentang kehilangan dana 1MDB sebanyak AS$3.5 bilion, yang dikaitkan dengan tuduhan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Abdul Samad menegaskan, mereka perlu segera kemukakan bukti, atau portal berkenaan menarik semula tuduhan serius itu terhadap Yang di-Pertuan Agong.

“Tuduhan seserius ini terhadap penglibatan Yang di-Pertuan Agong dalam soal bayaran balik wang dari anak syarikat Abu Dhabi, tidak wajar dibuat dengan sekadar menyebut ‘kami sekarang difahamkan’ atau sebagainya.

“Fakta ‘sahabat sekolah lama di Sandhurst’ dan kehadiran Putera DiRaja Mohammed ketika Pertabalan Tuanku Yang di-Pertuan Agong, bukanlah asas kukuh untuk membuat tuduhan yang berat ke atas baginda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Sarawak Report menyiarkan laporannya yang bertajuk “PN Secretly Shelves $3.5bn 1MDB Case Against Abu Dhabi/IPIC In Favour Of ‘Royal Negotiations’!” yang cuba mengaitkan Agong sebagai bersubahat.

Laporan tersebut berkata, kehilangan dana 1MDB sebanyak AS$3.5 bilion (RM14.64 bilion) yang dikaitkan dengan syarikat pelaburan dana negara Abu Dhabi, dilaporkan telah ditangguhkan secara senyap-senyap oleh kerajaan Perikatan Nasional.

Sarawak Report mendedahkan, selepas pembebasan Riza Abdul Aziz (anak tiri Najib Razak), Musa Aman, dan Goldman Sachs, kini dakwaan terhadap International Petroleum Investment Company (IPIC) pula ditangguhkan.

Ia dipercayai setelah kedua-dua pihak bersetuju untuk memilih perjanjian rundingan yang ‘selesa’ sebagai gantinya.

Justeru, Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, Sarawak Report perlu bertanggungjawab terhadap artikel yang disiarkan mereka.

“AMANAH berpendapat Sarawak Report perlu lebih berhati-hati serta bertanggungjawab dalam isu ini dan perlu sama ada menarik balik laporan tentang tuduhan ke atas Yang di-Pertuan Agong atau mengemukakan bukti yang kukuh untuk menyokong tuduhan tersebut,” katanya.