Pemuda AMANAH gembira tokoh muda ketuai PH Perak

Pemuda AMANAH gembira tokoh muda ketuai PH Perak

Pemuda AMANAH Negeri Perak melahirkan rasa gembira dengan perkembangan terkini Pakatan Harapan yang semakin menunjukkan kesepaduannya secara rasmi dengan pelantikan Pengerusi Negeri Pakatan Harapan.

Ketua Pemuda AMANAH Perak Hasnul Zulkarnain berkata dengan pelantikan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Ahmad Faizal Azumu sebagai Pengerusi PH Negeri Perak akan mengukuhkan lagi Pakatan Harapan di negeri itu.

“Kami menyambut baik perlantikan Ahmad Faizal Azumu sebagai Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Perak.

“Biarpun baru sahaja mengenali dan bekerja bersama beliau, namun kami tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama dalam satu pasukan di bawah naungan Pakatan Harapan.

“Kami menyakini beliau mampu mengetuai dan bergerak seiring bersama pimpinan-pimpinan lain yang sangat berpengalaman di negeri seperti Asmuni Awi, Nga Kor Ming, Dr Muhammad Nur Manuty, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dan ramai lagi,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Hasnul lagi kunci utama PH kini adalah memulakan gerak kerja secara bersama dan saling lengkap melengkapi antara satu sama lain demi mencapai matlamat utama.

“Bagi Pemuda AMANAH Perak, kami meletakkan harapan yang tinggi kepada pimpinan Pakatan Harapan Perak dalam usaha memastikan gerak kerja keempat-empat parti dapat berlangsung dengan jayanya.

“Disamping itu, kami sangat yakin kesatuan Pakatan Harapan dapat mencapai kesepakatan dalam semua aspek termasuklah pembahagian kerusi secara adil, pengaturan tugas secara kolektif, dan sebagainya.

“Kami sangat optimis Pakatan Harapan mampu mengulangi kejayaan Pakatan Rakyat satu ketika dahulu apabila mencatat satu sejarah besar apabila berjaya menubuhkan kerajaan pada tahun 2008,” ujarnya.

Bahkan Pemuda AMANAH Perak juga yakin, rakyat akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada Pakatan Harapan dalam PRU14 nanti bagi memastikan kerajaan kleptokrasi dijatuhkan seterusnya membina satu kerajaan baru yang lebih amanah dan bertanggungjawab.