AMANAH waspada dengan golongan pelampau kaum, agama

AMANAH waspada dengan golongan pelampau kaum, agama

Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Sany Hamzan mengingatkan peranan parti itu dalam menangani kewujudan golongan ekstremis kaum dan agama daripada menjejaskan keamanan negara ini.

Menurutnya, AMANAH perlu bertindak secara rasional dengan menjunjung asas Perlembagaan dan adil kepada semua pihak.

“Beberapa pihak sedang cuba mengambil kesempatan untuk mencetuskan ketegangan kaum dan agama.

“Niat jahat dan tindakan oportunis golongan ultra nasionalis dan Islamis fundamentalis menangguk di air keruh dalam isu ini harus dipandang serius dan diurus dengan bijaksana,” tegasnya dalam pidato sempena Konvensyen Pemuda AMANAH Nasional 2018 di Kuala Kangsar malam tadi.

Beliau yang juga Adun Taman Templer, Selangor berkata, AMANAH harus dilihat komited dan tidak apologetik dalam mempertahankan segala perkara yang menjadi tunjang Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya, peruntukan berkenaan hak istimewa orang Melayu, kedudukan Islam dan bahasa Melayu adalah asas keharmonian hubungan antara kaum dan agama di negara ini.

“Di sisi lain pula, AMANAH juga harus kekal teguh menjunjung prinsip keadilan tanpa mengira kaum dan agama.

“Isu ini menuntut Pemuda AMANAH untuk bertindak matang dan bijaksana pada masa yang sama memahami tuntas konteks dan latar negara bangsa Malaysia yang unik dan tersendiri,” ujarnya.

Sehubungan itu, Sany berkata, AMANAH perlu menyusun keutamaan dalam menterjemahkan idealisme secara beransur-ansur dengan mendahulukan proses pendidikan berbanding pemaksaan melalui undang-undang dan kuasa negara.