Malaysia Dateline

AMANAH Wilayah Persekutuan beri komitmen bantu calon Warisan

Jentera Parti Amanah Negara (AMANAH) dari Wilayah Persekutuan memberi kata sepakat untuk bersiapsiaga dalam usaha membantu calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang, dalam memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

Menurut Pengarah Pilihan Raya AMANAH WP, Abdul Rahman Jaafar, segala gerak kerja bagi menghadapi PRK Kimanis pada 18 Januari depan, telah diperincikan di mana jentera pilihan raya akan bertugas di tiga Pusat Daerah Mengundi, (PDM).

Tiga PDM yang ditetapkan termasuk PDM Seladan dalam Dun N23 Bongawan, PDM Lumat, dan PDM Mawao yang kedua-duanya berada dalam Dun N24 Membakut.

“Saya tegaskan di sini, jarak yang jauh bukan penghalang bagi kami terlibat sepanjang proses kempen berlangsung.

“Ia juga susulan dari seruan Presiden AMANAH yang mahukan seluruh jentera pilihan raya parti digerakkan segera bagi menghadapi PRK Kimanis.

“Justeru, pasukan petugas yang diketuai oleh Setiausaha BPR, Osman Md Idris, akan terus bersiapsiaga sepanjang tempoh berkempen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, AMANAH WP akan bersama-sama dengan AMANAH Sabah dalam urusan gerak-kerja pilihan raya dan penyelarasan yang akan dikemudi oleh AMANAH Nasional.

AMANAH WP juga dijangka terlibat dalam kempen fasa gelombang ketiga yang bermula dari 11 Januari sehingga 15 Januari 2020.

Abdul Rahman berkata, jentera Pilihan Raya AMANAH WP ke PRK Kimanis kali ini turut dianggotai petugas dari kedua-dua sayap wanita iaitu AWAN dan sayap Pemuda.

“Mereka akan bersama-sama dengan petugas AMANAH dari lain-lain negeri dan akan berkampung di beberapa PDM yang ditetapkan oleh pengarah bilik operasi jentera pilihan raya Pakatan Harapan (PH).

“Jentera pilihan raya AMANAH WP akan terus berada di Kimanis sehingga selesai gerak kerja fasa gelombang ketiga nanti,” ujarnya.