Malaysia Dateline

AMANAH Wilayah Persekutuan terus komited menabur bakti kepada masyarakat

Parti Amanah Negara (AMANAH) Wilayah Persekutuan akan terus komited untuk menyantuni dan menabur bakti kepada masyarakat sekeliling demi menjaga kebajikan mereka.

Pengerusinya, Datuk Wira Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, selepas ini pihaknya merancang untuk meneruskan pembangunan masyarakat dalam bentuk idea konstruktif yang disumbangkan oleh ahli-ahlinya sendiri.

Antara perwakilan yang hadir di Konvensyen AMANAH Wilayah Persekutuan

Sebagai contoh katanya, idea-idea itu adalah seperti peluang-peluang pekerjaan, menggalakkan penubuhan koperasi dalam kalangan penduduk atau sama-sama terlibat dalam program pertanian di kota.

“Ini adalah satu trend yang baharu dan di peringkat Kementerian Pembangunan Usahawan, kita boleh melihat peluang untuk ahli-ahli kita ini terlibat sebagai penganjur dan juga kepada penduduk itu sendiri, untuk mengadakan program seperti usahawan kota dan pertanian kota.

“Ini adalah aktiviti parti yang terus kepada golongan masyarakat. Selain daripada itu, kita juga mahukan ahli-ahli AMANAH Wilayah Persekutuan ini peka terhadap sebarang masalah yang dihadapi penduduk.

Tetamu jemputan dan pemerhati yang mengikuti Konvensyen AMANAH Wilayah Persekutuan hari ini

“Masalah seperti penempatan perlulah segera disuarakan dan mereka (ahli AMANAH Wilayah Persekutuan) menjadi ‘juara’ kepada masyarakat. Walaupun ianya dilihat sebagai mengkritik kerajaan, tetapi itu tidak menjadi masalah,” katanya di Konvensyen AMANAH Wilayah Persekutuan 2019 yang diadakan di Dewan Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM), hari ini.

Beliau berkata demikian kepada Malaysia Dateline ketika diminta mengulas mengenai sasaran AMANAH Wilayah Persekutuan selepas ini.

Turut hadir dalam konvensyen itu adalah, Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar, dan Pemimpin Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Nasional, Aiman Athirah Al Jundi.

Terdahulu, konvensyen yang diadakan kali keempat itu dirasmikan oleh Mahfuz yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia.

Dalam pada itu, Dr Hatta yang juga merupakan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan turut menitik beratkan masalah yang dihadapi masyarakat.

“Yang penting ialah masalah warganegara atau pun dipanggil masyarakat, diambil perhatian. Kita juga bersyukur kerana setakat ini di Wilayah Persekutuan, tiada kenaikan cukai yang mendera masyarakat, tiada masalah bekalan air dan mempunyai struktur jalan yang baik.

“Banjir sekali-sekala itu mungkin itu ada, tetapi tentang perkara itu, kita mengharapkan wakil-wakil kita (AMANAH) yang ada dalam kerajaan akan peka dan mencari jalan penyelesaian supaya masyarakat menjalani kehidupan lebih selesa,” ujar Dr Hatta yang juga merupakan Ahli Parlimen Lumut.

Dalam majlis sama, AMANAH Wilayah Persekutuan turut menyampaikan anugerah Tokoh Aktivis Orang Kurang Upaya (OKU), Tokoh Aktivis Pena, Tokoh Aktivis AMANAH, Tokoh Aktivis Politik & Budaya serta Tokoh Khas Jasamu Dikenang.

Tokoh Aktivis Pena dianugerahkan kepada Penasihat Dateline Media Group (DMG) Sdn Bhd, Ahmad Lutfi Othman yang juga merupakan penulis buku Revolusi Tanpa Darah.