AMANAH Wilayah ucap tahniah pelantikan Datuk Bandar

AMANAH Wilayah Persekutuan mengucapkan tahniah dan menyokong penuh pelantikan Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu.

Naib Pengerusinya, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi berkata, berdasarkan rekod kerjaya, kecemerlangan serta latar belakang Nor Hisham, beliau diyakini memiliki pengalaman luas, kelayakan yang tinggi serta mendapat kepercayaan ramai pihak.

“AMANAH WP percaya Datuk Nor Hisham adalah orang yang tepat untuk memikul amanah besar dan berat ini. Sebagai Datuk Bandar, beliau adalah ikon kemajuan dan kecemerlangan ibu kota negara Malaysia ini.

“Sudah tentu fokus beliau perlu terarah kepada melestarikan pembangunan Kuala Lumpur sebagai bandaraya terulung dan terunggul di Asia dan antara yang terhebat di dunia.

“Ia bukanlah mustahil untuk dicapai kerana Kuala Lumpur juga bakal menjadi Ibu Kota Buku Dunia menjelang 2020, suatu pencapaian yang membanggakan negara,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Nor Hisham sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Pegawai Daerah Hulu Selangor M52 pada 2007 dan menerima ‘penyapu’ daripada kerajaan Negeri Selangor daripada bekas Menteri Besar, Dr Mohamad Khir Toyo.

Mengulas lanjut, Zamri berkata, Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu antara lain perlu mewujudkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai pihak berkuasa tempatan yang bersih dari rasuah, berintegriti tinggi dan berdaya maju.

“Amalan rasuah yang membarah di era lalu perlu dihapuskan hingga ke akar umbi dan menjadi sejarah yang tidak berulang. Kepercayaan ini akan diterjemahkan beliau dengan budaya kerja yang telus, efisyen dan berwawasan bagi menjadikan DBKL sebagai agensi kerajaan yang disegani,” jelasnya.

Selain itu, ujarnya, Nor Hisham diharap agar meningkatkan lagi aspek kebersihan, keselamatan, dan kemudahan infrastruktur serta pengangkutan awam di Kuala Lumpur.

“Kebersihan premis perniagaan, kediaman dan kawasan awam perlu menjadi amalan dan budaya positif dalam masyarakat serta kerajaan. Rakyat juga mengharapkan agar Kuala Lumpur menjadi bandaraya yang selamat untuk semua warga Malaysia.

“Justeru, indeks kadar jenayah atau peratusan kegiatan tidak bermoral di Kuala Lumpur perlu menurun setiap tahun sejajar dengan peningkatan kualiti hidup warga kota,” katanya.

Menurut Zamri, AMANAH Wilayah Persekutuan juga berharap agar masalah trafik, kesesakan lalu lintas serta banjir kilat dapat diatasi segera dengan cadangan penyelesaian yang bersifat holistik serta bermanfaat untuk semua.

“Sokongan dan kerjasama erat dari pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Kementerian Wilayah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan lain-lain agensi kerajaan juga dapat dibentuk dan digabungjalin demi kesejahteraan rakyat khususnya warga kota metropolitan Kuala Lumpur.

“Akhirnya, AMANAH WP percaya pelantikan beliau mampu menobatkan Kuala Lumpur sebagai bandaraya yang disegani dan destinasi yang dirindui untuk dikunjungi oleh masyarakat tempatan dan pelancong asing.

“Rakyat akan sentiasa berdiri teguh dan bekerjasama bagi mencapai Kuala Lumpur yang diimpikan dalam era Malaysia Baharu ini,” tambah Zamri lagi.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote