AMANAH WP lapor polis kenyataan jelik terhadap Menteri Agama

AMANAH WP lapor polis kenyataan jelik terhadap Menteri Agama

AMANAH Wilayah Persekutuan hari ini membuat laporan polis terhadap penceramah bebas, Ibrahim Mohd Raja yang didakwa mengeluarkan kenyataan jelik terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Ibrahim yang merupakan pemilik akaun Facebook tersebut didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur jahat yang menyebut ‘Menteri Agama, Berjiwa Kafir. Nokhtah’, pada 25 Januari lalu.

Naib Pengerusi Amanah WP, Ahmad Zamri Asaad Khuzami, menggesa agar Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap penceramah bebas itu yang dilihat berpotensi menyebarkan ideologi takfiri.

“Ini kenyataan yang perlu dilihat dari segi undang-undang jenayah. Tak ada maksud tersirat sebab secara jelas dia sertakan gambar (Dr Mujahid) dengan kapsyen jahat.

“Laporan dibuat di bawah Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan kesalahan di bawah Seksyen 501 dan 505 Kanun Keseksaan, kerana mengeluarkan kenyataan berbaur jahat

“Selepas membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), AMANAH WP juga akan mempertimbangkan untuk membuat saman sivil dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang media di depan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Amanah WP, Ahmad Zubair Wan Abd Rahim; beberapa Ketua Amanah dari kawasan Kepong, Batu, Bukit Bintang, Kepong, dan Tun Razak.

Dalam pada itu, Ahmad Zamri menggesa agar Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menarik semula tauliah yang diberikan kepada Ibrahim oleh kerana tindakannya yang sengaja menyebarkan kenyataan fitnah dan jahat.

Beliau berkata, aduan akan dibuat kepada pihak Jawi terlebih dahulu oleh kerana Ibrahim merupakan penceramah di masjid namun kenyataannya yang bersifat mengkafirkan sesama Islam tidak dapat diterima.

“Beliau pemegang tauliah dari Wilayah Persekutuan dan selepas ini kami akan buat aduan kepada pihak Jawi agar tauliah ditarik balik supaya dia tak boleh sebarkan kenyataan jahat sebegini,” tegasnya.

Sementara itu, beberapa AMANAH Negeri termasuk Terengganu dan Kedah turut membuat laporan sama terhadap penceramah bebas tersebut yang dianggap bersifat keterlaluan dan biadab.

Pemuda AMANAH Terengganu yang diwakili Ketuanya, Zamir Ghazali dan turut disertai Pengarah Biro Pilihanraya Pemuda AMANAH Nasional, Asmaaliff Abdul Adam serta Ketua Pemuda AMANAH Kuala Terengganu, Sokri Othman, membuat laporan tengahari tadi.

Zamir berkata, perbezaan pandangan atau ijtihad tidak seharusnya membuka ruang untuk memburukkan dan menghina menteri mahupun rakyat biasa.