Malaysia Dateline

AMANAH zahirkan ucapan takziah kepada rakyat Turki

Parti Amanah Negara (AMANAH) mengucapkan takziah kepada rakyat dan kerajaan Turki pimpinan Presiden Erdogan ekoran bandar pelancongan Izmir dilanda gempa bumi pada Jumaat.

“Dalam ekonomi yang tertekan ditambah dengan ancaman Covid-19, menambahkan lagi masalah bagi masyarakat Turki dan khususnya industri pelancongan, kata Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub.

Katanya yang juga Ketua Biro Antarabangsa AMANAH, Turki menjadi salah satu model negara Islam yang mewajibkan menerima berjuta-juta pelarian dari negara-negara jiran khususnya Arab Muslim yang dilanda perang.

Akibat ini, beliau berharap negara-negara lain termasuk Malaysia bersedia menghulurkan bantuan dan pertolongan kepada rakyat Turki.

“Semoga rakyat Turki di bawah kepemimpinan Presiden Edorgan bangkit untuk menghadapi bencana sekarang dan cabaran masa depan.

“Rakyat Malaysia berdiri dan bersolidariti menyatakan simpati kepada Turki yang sedang bersedih hari ini,” kata beliau.

Gempa bumi kuat melanda Laut Aegea pada Jumaat di mana gegaran itu dirasai di Greece dan Turki.

Memetik laporan Reuters, beberapa bangunan di wilayah Izmir turut runtuh akibat gegaran berukuran 7.0 itu.

Ia melanda sekitar jam 2:50 tengah hari waktu tempatan itu dirasai di sepanjang pantai Aegean di Turki dan barat laut wilayah Marmara.