Abang Johari  dilantik Ketua Menteri Sarawak ke-6

Abang Johari dilantik Ketua Menteri Sarawak ke-6

Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, 67, hari ini dilantik sebagai Ketua Menteri baharu Sarawak menggantikan Tan Sri Adenan Satem yang meninggal dunia Rabu lepas.

Timbalan Presiden parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu yang lengkap berpakaian baju Melayu hitam, mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Sarawak keenam di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud di Astana, kediaman rasmi ketua negeri di sini.

Turut hadir, isteri beliau Datin Amar Jumaani Tuanku Bujang, anggota-anggota Kabinet negeri, anggota Dewan Undangan Negeri dan kakitangan kanan awam.

Abang Johari atau dikenali mesra dengan nama Abang Jo, merupakan seorang daripada tiga timbalan ketua menteri di bawah pentadbiran Allahyarham Adenan, selain Datuk Amar Douglas Uggah dan Tan Sri Dr James Masing.

Merupakan seorang ahli politik veteran, Abang Johari berkecimpung dalam politik lebih daripada 30 tahun.

Beliau merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Satok selama sembilan penggal.

Abang Johari yang berkelayakan jurutera, buat pertama kali bertanding bagi kerusi itu, pada 1981.

Beliau mempunyai 10 orang adik beradik daripada keluarga ternama Sarawak yang mempunyai sejarah panjang di negeri ini.

Allahyarham bapanya Tun Abang Haji Openg merupakan Yang Dipertua Negeri Sarawak pertama selepas Sarawak mencapai kemerdekaan daripada Britain dan selepas pembentukan Malaysia pada 1963.

Abang Johari dipilih Ketua Menteri melalui kaedah Kaukus

Beliau sebagai Ketua Menteri baharu Sarawak berdasarkan penggunaan sistem kaukus yang termaktub dalam perlembagaan parti itu.

PBB mempunyai kata putus dalam pemilihan ketua eksekutif kerajaan negeri itu selaku parti tonggak Barisan Nasional (BN) bagi menerajui pentadbiran kerajaan negeri itu.

Kaukus PBB yang diamalkan sejak 2002, dianggotai oleh kesemua wakil rakyatnya (Anggota-anggota Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri) serta senator, yang bermesyuarat hari ini bagi mencari calon terbaik dalam kalangan mereka tanpa bergantung kepada hierarki parti.

Abang Johari, 66, dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak yang keenam menggantikan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan, Kuching, Rabu lepas.

Malahan, Adenan yang memegang jawatan Ketua Menteri sejak Februari 2014 juga dipilih secara sistem kaukus, kaedah yang turut diamalkan parti politik utama di negara-negara maju seperti Kanada dan New Zealand.

Mengikut Perlembagaan PBB (pindaan sehingga 25 April 2007), Fasal 15 (6); kaukus perlu juga berunding dengan parti komponen BN negeri serta membuat perakuan kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak mengenai pelantikan Ketua Menteri Sarawak dalam kalangan anggota kaukus.

Abang Johari, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Satok berpengalaman lebih 30 tahun dalam politik, merupakan seorang daripada tiga timbalan ketua menteri di bawah pentadbiran Allahyarham Adenan, selain Datuk Amar Douglas Uggah dan Tan Sri Dr James Masing.

Adenan yang memegang jawatan Ketua Menteri selama hampir tiga tahun, meninggal dunia pada Rabu lalu kerana komplikasi jantung di Pusat Jantung Sarawak, Hospital Umum Kota Samarahan. Negeri Sarawak mengibarkan bendera separuh tiang dan berkabung selama tujuh hari.

TAGS