Amar mahu gejala seks songsang diberi perhatian bukan isu kahwin budak

Mohd Amar Nik Abdullah

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengingatkan isu perkahwinan bawah umur tidak wajar disensasikan kerana tidak dibincangkan secara teliti sehingga menimbulkan prejudis dalam kalangan masyarakat.

Sebaliknya, ujar Naib Presiden Pas itu, isu perkahwinan sejenis dan gejala seks songsang yang mengancam keharmonian rakyat serta negara yang sepatutnya diberi perhatian serius.

“Perkahwinan bawah umur itu berlaku di luar Kelantan iaitu di Thailand. Malah, kerajaan negeri sudah serahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) bagi menjalankan siasatan lanjut,” ujarnya dipetik dari Utusan Malaysia hari ini.

Menurutnya, perkahwinan bawah umur adalah lumrah kehidupan bahkan terdapat rakannya dahulu bernikah pada usia bawah 18 tahun.

“Kahwin pada usia muda adalah perkara biasa dan dari segi hukum juga tidak salah.

“Kalau kawan-kawan saya pada umur 15 hingga 16 tahun dahulu sudah kahwin, kalau nak kira sekarang bawah umurlah,” katanya.

Sehubungan itu, Amar mengingatkan agar tidak bersikap berlebihan dalam isu perkahwinan dengan kanak-kanak.

“Itu perkara yang sudah norma dalam kehidupan. Jangan kita nak ‘overreact (reaksi berlebihan) dalam isu ini,” tambahnya lagi.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kompleks Kota Darul Naim, Kota Bharu semalam.

Kisah perkahwinan bawah umur menggemparkan negara apabila peraih getah di Gua Musang, Che Abdul Karim Che Hamid, 41, bernikah dengan kanak-kanak berusia 11 tahun yang dikenali sebagai Ayu di sebuah masjid di Sungai Golok, selatan Thailand pada 4 Syawal lalu.

Isteri kedua Che Abdul Karim iaitu Noor Azila Zulkifle, 34, mendedahkan perkahwinan ketiga suaminya dengan kanak-kanak yang berasal dari Pattani itu di Facebook sehingga menjadi bualan ramai.

Sementara itu, Noraini Che Nawi, 41, iaitu isteri pertama Che Abdul Karim dilapor berkata tidak marah dengan tindakan suaminya bernikah lagi tetapi bukannya dengan kanak-kanak.

Malah, Noraini berkata, madu ketiganya itu adalah pekerjanya sendiri.

Che Abdul Karim mempunyai dua anak bersama isteri pertama dan empat anak dengan Noor Azila.

Bapa Ayu, Mat Rashid Romadsa, 49, yang bekerja mengambil upah menoreh getah sebelum ini berkata sudah 20 tahun mengenali menantunya.

Warga Thailand itu memberitahu, Che Abdul Karim ada memberitahu mahu menjadikan Ayu sebagai isteri pada Ramadan tahun lalu.

Ibu Ayu, Aminah Hitam, 47, berkata, mereka sekeluarga hidup miskin dan hanya mengharapkan pendapatan menoreh getah serta bekerja di kedai makan milik isteri pertama menantunya.

Perkahwinan ketiga peraih getah berusia 41 tahun dengan budak 11 tahun mengundang kecaman masyarakat.

Boleh didakwa

Sementara itu, tindakan lelaki tersebut mengahwini kanak-kanak berusia 11 tahun itu tanpa kebenaran boleh didakwa di Mahkamah Syariah kerana melakukan kesalahan di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2002.

Ketua Pendakwa Syarie Kelantan, Zaini Sulaiman dilapor berkata, lelaki berkenaan boleh didakwa melakukan dua kesalahan iaitu berkahwin tanpa kebenaran mahkamah dan tidak mendapat kebenaran isteri untuk berpoligami.

“Lelaki terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 23 dan Seksyen 19 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2002 yang membawa hukuman denda RM1,000 dan penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan bagi setiap kesalahan.

“Oleh itu, kita minta lelaki itu dan kanak-kanak berusia 11 tahun tampil ke mahkamah untuk membuat pengesahan perkahwinan dalam masa terdekat

“Tindakan undang-undang hanya boleh diambil terhadap lelaki sahaja memandangkan kanak-kanak perempuan itu warga Thailand,” katanya ketika ditemui Berita Harian di pejabatnya di Balai Islam, Lundang 2 Julai lalu.

 

9.7
OVERALL SCORE
: 10.0
2 user votes x 9.5
CATEGORIES
TAGS