Malaysia Dateline

Amaran bekas wartawan BN tentang tanah Felda terbukti benar

Hambali Abd Latif

Amaran awal bekas wartawan akhbar Berita Harian bahawa laporan akhbar itu tentang kehilangan tanah Felda mempunyai ‘udang di sebalik batu’ kini menjadi kenyataan.

Ia berlaku apabila syarikat yang dikatakan mendapat tanah itu, Synergy Prominade telah menyerahkan kembali kesemua geran tanah terlibat kepada Felda.

Bekas wartawan kanan akhbar itu, Hambali Abdul Latif sudah memberikan amaran, ia hanya sandiwara.

Malaysia Dateline sebelum ini melaporkan, semua pihak diberikan ingatan, bahawa Umno mempunyai ‘udang di sebalik batu’ apabila mendedahkan isu
kehilangan tanah Felda bernilai RM270 juta di Jalan Semarak.

Bekas pengarang Harian Metro, akhbar pro Umno yang kini menjadi Setiausaha Bersatu Terengganu, Hambali Abdul Latif berkata, apabila Berita Harian tiba-tiba mendedahkan isu ini, ia mesti ada ‘udang di sebalik batu’.

“Silap-silap Umno/BN akan menggunakan satu peluru untuk menjatuhkan beberapa ekor helang.

“Asalkan membawa keuntungan dalam PRU14 dan Najib dapat dikekalkan kedududukannya, mangsa politik atau ‘kambing hitam’ yang terpaksa dikorbankan bukan isu besar bagi mereka,” kata Hambali, bekas Pengarang Harian Metro dalam blognya.

Pada 15 Januari lalu, Shahrir mengumumkan, tanah di Jalan Semarak yang telah bertukar tangan kepada sebuah syarikat pemaju telah dikembalikan semula kepada Felda.

Pengerusi Felda itu berkata, pemaju projek berkenaan telah bersetuju memulangkan hak tanah tersebut, yang kesemuanya berjumlah 16 lot, kepada Felda tanpa sebarang kos.

Bercakap kepada media di Menara Felda, Shahrir berkata, semua dokumen berkaitan akan dipulangkan dan akan didaftarkan atas nama Felda.

Bagaimanapun kata beliau, agensi berkenaan tidak berniat untuk menarik balik laporan polis yang dibuat pada 12 Disember dan 17 Disember tahun lalu itu.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana menipu dan memalsukan.

Kertas siasatan berhubung pertukaran nama tanah Felda di Jalan Semarak dijangka akan diserahkan kepada Peguam Negara pada penghujung minggu ini.