Malaysia Dateline

Amaran hujan berterusan peringkat buruk di 11 buah negeri

Setakat jam 4 petang tadi, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) mengeluarkan amaran hujan berterusan di peringkat bahaya bagi barat Johor sehingga hari ini.

MetMalaysia dalam kenyataannya turut mengeluarkan amaran hujan lebat pada peringkat buruk dan waspada di 11 buah negeri sehingga sehingga Selasa depan (4 Januari 2022).

Negeri-negeri yang terlibat adalah timur Johor, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sabah.

Selain itu, MET Malaysia juga telah mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora bagi kategori pertama, kedua dan ketiga bagi perairan Pantai Timur Semananjung sehingga Selasa ini.

“Kedua-dua amaran itu melibatkan timur Johor, Sarawak dan Sabah sehingga 4 Januari 2022,” kata kenyataan itu dalam kemaskini terbaru di laman web rasminya.

Berdasarkan analisis model MET Malaysia Weather Research and Forecasting Model (MMD-WRF) European Centre for Medium Range Weather Forecasts (ECMWF) dan Global Forecast System (GFS), luruan monsun dijangka berterusan sehingga 4 Januari 2022.

“Dalam masa sama, kawasan barat Sabah dan Sarawak juga dijangka mengalami keadaan cuaca ribut petir yang lebih kerap pada sebelah petang hingga malam,” katanya.