Malaysia Dateline

Amaran hujan lebat di 5 negeri, KL dan Putrajaya

Jabatan Meteorologi (METMalaysia) sebentar tadi mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang membabitkan lima negeri, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya hingga jam 7 petang ini.

Lima negeri terbabit ialah Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Johor dan Sarawak.

Menurut METMalaysia, dalam satu kenyataan memaklumkan, amaran cuaca buruk itu dijangka berlaku di seluruh Selangor.

Di Pahang membabitkan Bera, Pekan dan Rompin manakala di Negeri Sembilan hujan mencurah dijangka turun di Jelebu, Seremban dan Jempol.

Di Johor, sebahagian besar diramal mengalami cuara tersebut iaitu di Segamat, Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Sementara itu di Sarawak, kawasan terlibat ialah Kuching (Kuching), Samarahan (Samarahan dan Asajaya), Sibu (Sibu dan Selangau), Mukah (Matu, Dalat dan Mukah) dan Bintulu (Tatau).

Menurut METMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.