Amaran KANUN: Jangan ceroboh bangunan milik Husam

Wisma Tok Guru yang menempatkan pejabat Adun Salor, Datuk Husam Musa.

Biro Undang-Undang (KANUN), Parti Amanah Negara (AMANAH) memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak sesekali cuba untuk mencerobohi bangunan Wisma Tok Guru di Salor, Kota Bharu.

Wan Anwar Wan Ibrahim

Wan Anwar Wan Ibrahim

Timbalan Pengerusinya, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, penolakan injunksi hari ini tidak bermakna tuntutan sudah berakhir memandangkan premis tersebut masih sah dalam milik Naib Presiden AMANAH, Datuk Husam Musa.

“KANUN mengambil maklum tentang keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini menolak permohonan injunksi ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Salor, Dato Husam Musa untuk menghalang Pas daripada memasuki kawasan premis Wisma Tok Guru.

“KANUN menegaskan bahawa walaupun permohonan injunksi tersebut ditolak, kes induk berkaitan isu ini masih dalam proses mahkamah dan penolakan permohonan injunksi ini ibarat kehilangan pertempuran tetapi bukan perang,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Isu berkaitan Wisma Tok Guru timbul ekoran tindakan Pas Kelantan membeli tanah bangunan itu dan memberi peringatan kepada AMANAH agar mengosongkan premis tersebut selewat-lewatnya hari ini.

Bagaimanapun, AMANAH tidak akan mengosongkan Wisma Tok Guru selagi tanpa keputusan daripada mahkamah berhubung kes berkenaan.

Menurut Wan Anwar, perbicaraan kes saman induk tuntutan Husam terhadap tanah dan bangunan Wisma Tok Guru itu hanya akan bermula pada 4 Disember nanti.

“Sementara perbicaraan tuntutan harta pesaka waris-waris Datuk Rosli Ibrahim terhadap hartanah tersebut pula akan dijalankan pada 7 Januari 2018,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau memohon penyokong AMANAH bersabar dan berdoa supaya Allah mempermudahkan urusan Husam dan pasukan peguamnya menjelang keputusan terhadap kes induk tersebut.

7.3
OVERALL SCORE
: 7.0
2 user votes x 7.5
CATEGORIES
TAGS