Malaysia Dateline

Amaran ribut petir sudah dikeluarkan lebih awal

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) memaklumkan pihaknya sudah mengeluarkan amaran untuk kejadian ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang membabitkan kawasan Perak bermula jam 3.40 petang, semalam.

Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah, berkata, pihaknya telah mengemaskini maklumat itu pada jam 6.55 petang dan 7.55 malam membabitkan beberapa daerah di Perak berdasarkan maklumat dan analisa cuaca terkini dan disebarkan melalui pelbagai medium sebaran rasmi METMalaysia.

“Kejadian ribut petir dan angin kencang dilaporkan berlaku di daerah Kinta, Perak sekitar jam 6.30 petang semalam dan berdasarkan imej radar serta satelit, beberapa tompok awan hujan kecil terbentuk di sempadan Perak dan Pahang pada jam 5.50 petang.

“Tompokan awan juga tidak berkembang dengan ketara, namun awan hujan bersaiz kecil di daerah Kinta meningkat ke intensiti kuat dalam tempoh yang sangat singkat sekitar jam 6.20 hingga 6.40 petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kejadian ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang di daerah Kinta, Perak petang semalam berpunca daripada pembentukan awan ribut petir yang bersaiz sangat kecil, tetapi kuat.

Jelasnya, kejadian yang bersifat setempat serta bersaiz sangat kecil itu meningkatkan intensiti dengan sangat cepat dan amat sukar untuk diramal.