Malaysia Dateline

Amat ralat doa Himpunan ICERD mohon pendekkan umur PH

Dr Zaidi Zakaria

Himpunan bantah ICERD telah pun dibenarkan dan dipermudahkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH). Sebelum ini pun kerajaan PH telah bersetuju tidak akan meratifikasikan ICERD.

Oleh itu amat ralat, apabila diakhir himpunan tersebut, dipanjangkan doa beramai-ramai semoga dipendekkan umur PH.

Demikian dinyatakan oleh Ketua AMANAH Kawasan Permatang Pauh, Dr Zaidi Zakaria.

Katanya lagi, sejak tujuh bulan pemerintahan PH,  telah cuba untuk mengembalikan wang rakyat dan juga negara setelah berlakunya rompakan  dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Kerajaan PH berusaha untuk kembalikan hak rakyat dan negara.

“Kita juga bersungguh-sungguh cuba menyelamatkan wang amanah dari rakyat Muslim melalui Tabung Haji.

“Kita tidak mencuri, sebaliknya ulama mereka mendoakan umur PH dipendekkan, ” ujarnya kesal.

Malah tegas beliau lagi, ironinya ulama yang memanjatkan pendek umur PH, berdoa bersama-sama dengan pemimpin kerajaan lalu yang sedang menghadapi pertuduhan di Mahkamah.

“Disangka ulama menyokong kerajaan mengheret mereka yang tidak amanah menjaga wang rakyat ke muka pengadilan, sebaliknya mereka pula mendoakan pendekkan umur PH.

“Persoalannya apakah kesalahan pemimpin-pemimpin Melayu-Muslim PH yang baru tujuh bulan jika dibandingkan dengan pemimpin-pemimpin Melayu-Muslim BN yang telah 60 tahun berkuasa.

“Sekiranya dosa tujuh bulan itu lebih besar dari dosa 60 tahun, ini bermakna dosa tujuh bulan tersebut teramatlah besar sekali, ” jelas beliau lagi.

Tanya beliau lagi, apakah dosa maupun kesalahan yang teramat besar kerajaan PH jika dibandingkan dengan dosa dan kesalahan kerajaan BN terdahulu.

Dr Zaidi juga mempersoalkan apakah kerajaan PH yang meratifikasikan ICERD atau merosakkan perpaduan Melayu dan Islam sehingga menyebabkan kebencian yang teramat sangat terhadap PH.

Soal beliau lagi, apakah yang telah menjadi pendorong sehingga tidak berlaku adil kepada kerajaan yang sedang dipimpin oleh PH.