Malaysia Dateline

Ambil alih konsesi empat lebuh raya bukan gula-gula politik, kata Anthony Loke

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pengumuman kerajaan untuk mengambil alih konsesi empat lebuh raya itu bukanlah ‘gula-gula politik’.

Beliau berkata, keputusan itu jugalangsung tidak mempunyai kaitan dengan PRK Semenyih memandangkan kesemua lebuh raya yang terlibat bukan di Semenyih

“Kita hendak tunggu sampai bila untuk umumkannya… kalau mahu selepas PRK Semenyih, kita akan ada Rantau pula nanti… adakah kerana ada PRK kita tidak boleh umum apa-apa… rakyat sendiri mahu melihat keputusan cepat maka kita kena laksanakan dengan cepat.

“Kita umumkan kerana ia sudah sedia dilaksanakan, bukan sebab PRK, padahal empat lebuh raya itu langsung tidak terlibat dengan Semenyih,” katanya selepas menghadiri majlis Sembang Santai bersama masyarakat Cina di Kampung Baru Cina pada Ahad.

Beliau berkata kerajaan mengumumkan sesuatu berita baik sejurus sesuatu rancangan itu boleh dilaksanakan, tanpa melengah-lengahkan atau menunggu waktu tertentu.

Hari pengundian PRK Semenyih ditetapkan pada 2 Mac. Kerusi Semenyih kosong susulan kematian penyandangnya Bahtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

PRK DunSemenyih menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH Muhammad Aiman Zainali, Zakaria Hanafi (Barisan Nasional); Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas Kuan Chee Heng.-BERNAMA.