Malaysia Dateline

Ambil iktibar jangkitan Covid-19 meningkat walau kadar vaksinasi tinggi

Pakar perubatan di Hospital Pakar KPJ Damasara, Dr Musa Mohd Nordin menasihatkan penduduk Malaysia agar mengambil pengajaran daripada apa yang dialami negara-negara dengan kadar vaksinasi tinggi.

Menurutnya, pertambahan kes baharu jangkitan Covid-19 di Singapura dan Israel berlaku walaupun kadar imunisasi pandemik itu masing-masing 77.1 peratus dan 63.4 peratus.

“Iktibar dari Singapura dan Israel menangani (varian) Delta amat sukar.

“Kes meningkat di Singapura dan Israel. Singapura cecah 1,000 kes baru,” katanya menerusi Twitter beliau.

Untuk rekod, Israel sejak pertengahan Ogos lalu menunjukkan trend peningkatan jangkitan Covid-19 apabila dilanda gelombang ketiga meskipun merupakan salah satu negara paling tinggi kadar vaksinasi di dunia.

Kajian Universiti Oxford mendedahkan terdapat 1,892 kes Covid-19 bagi setiap sejuta orang di Israel setakat 1 September lalu yang merupakan 0.2 peratus daripada keseluruhan penduduk Israel dalam masa satu hari.

Angka tersebut dilapor jauh lebih tinggi daripada Mongolia iaitu negara kedua paling teruk dilanda Covid-19 dengan catatan 1,119 kes setiap sejuta penduduk.

Sementara itu, di Singapura, kes baharu Covid-19 pada 18 September lalu melepasi angka 1,000 selepas tiga hari berturut-turut kes meningkat di republik tersebut.

Sebanyak 1,009 kes baharu dicatatkan iaitu tertinggi dalam tempoh 17 bulan apabila merekodkan 1,037 kes pada 23 April tahun lalu.

Sehubungan itu, Dr Musa berkata, usaha mengekang penularan Covid-19 tidak harus bergantung dengan program vaksinasi sahaja.

“Pastikan FTTIS (Find, Test and Trace, Isolate, Support) lengkap. Pembukaan semula (sektor) bersandarkan indikator sains bukan politik,” katanya lagi.