Ambil iktibar kes Nik Elin, Terengganu teliti undang-undang syariah negeri agar tak bercanggah Perlembagaan

Oleh WAN SITI AMINAH

Kerajaan Terengganu akan meneliti semula semua aspek di dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah negeri itu agar tidak bercanggah dengan undang-undang persekutuan.

Mengambil iktibar dengan kejadian yang berlaku di Kelantan baru-baru ini, perkara tersebut dimaklumkan Menteri Besarnya iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, lapor Sinar Harian.

Jelas Samsuri, penelitian dibuat berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jumaat yang mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, terbatal dan tidak sah.

“Langkah tersebut diambil bagi memastikan Enakmen Kanun Jenayah Syariah di Terengganu tidak bercanggah dengan peringkat Persekutuan.

“Selain itu, kerajaan negeri turut akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat pihak yang ingin mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Terdahulu, peguam yang juga ahli Muafakat Nasional iaitu Nik Elin dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha berjaya mencabar 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Perkara berlaku selepas sembilan panel hakim Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 membenarkan petisyen Nik Elin dan anaknya membatalkan kesahihan peruntukan jenayah syariah negeri tersebut.

Difahamkan, enakmen yang terlibat dalam pembatalan ini digubal oleh pihak Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di mana ia telah bercanggah dengan Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan.

Percanggahan antara undang-undang persekutuan dengan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 berdasarkan hantaran pemilik akaun @FaktaBukanAuta di platform X.

Oleh yang demikian, mahkamah bertindak membatalkan seksyen yang bercanggah mengikut Perkara 75 iaitu Kelarasan antara undang-undang persekutuan dengan undang-undang negeri.

Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa jika terdapat undang-undang negeri yang tidak selaras dengan sesuatu undang-undang persekutuan, maka ia adalah tidak sah dan terbatal.

Untuk makluman, seksyen yang dibatalkan ini masih wujud dalam Kanun Keseksaan dan masih boleh didakwa di mahkamah seperti laporan palsu, memusnahkan rumah agama, sumbang mahram, rogol haiwan dan tentunya perbuatan liwat.

Malah sekiranya diperhatikan, hukuman di bawah Kanun Keseksaan kelihatan lebih setimpal dengan jenayah dilakukan pesalah berbanding dalam Enakmen Syariah Kelantan.

Baca juga: “Penat mak dia buat tapi tak bagi cikgu rasa” – Guru puji rasa kuih, siap suruh pelajar lain makan bersama