Ambil iktibar kesan pemansuhan ISA sebelum mansuh Sosma, kata Musa Hassan

Ambil iktibar kesan pemansuhan ISA sebelum mansuh Sosma, kata Musa Hassan

Apa yang berlaku selepas pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 harus menjadi pengajaran kepada kerajaan hari ini dalam pertimbangannya untuk memansuhkan undang-undang pencegahan seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), kata bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan.

“Kita sudah mansuh ISA dan Ordinan Darurat (EO) dan pemansuhan itu menyebabkan peningkatan ketara dalam kes jenayah berat khasnya yang melibatkan kumpulan kongsi gelap berebut kawasan masing-masing.

“Saya tidak setuju kalau ia dimansuhkan, kalau boleh kaji dan teliti dahulu…tanpa Sosma, POCA dan POTA kita tidak mampu mengekang aktiviti pengganas yang terlatih seperti kumpulan IS, kumpulan penjenayah terancang bersenjata lengkap dan ganas,” katanya dalam temu ramah eksklusif bersama Bernama, di sini.

Pada 22 Julai, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan memansuhkan undang-undang yang banyak menindas rakyat khususnya Sosma. Turut dikaitkan dengan langkah pemansuhan itu adalah POCA dan POTA.

Bagi pegawai polis veteran ini, undang-undang pencegahan yang tegas perlu senantiasa ada untuk melindungi negara serta rakyat sekali gus menyekat pergerakan kumpulan ekstremis, kumpulan militan dan kumpulan jenayah terancang dewasa ini.

Pencerobohan di Lahad Datu oleh kumpulan dari Mindano diketuai adik Sultan Jamalul Kiram III, Agbimuddin Kiram, di Felda Sahabat Kampung Tanduo, pada 9 Feb 2013 adalah satu lagi pengajaran bahawa ancaman terhadap kedaulatan negara boleh berlaku bila-bila masa dan harus dikekang daripada awal lagi.

Krisis yang mengorbankan 9 anggota keselamatan dan 54 pengganas, selain kira-kira 100 orang ditahan, mungkin tidak mampu ditangani dengan mudah jika negara tidak mempunyai undang-undang khas seperti Sosma, katanya.

Musa Hassan menegaskan undang-undang untuk mengekang ancaman keselamatan amat penting kepada negara seperti Malaysia yang masyarakatnya berbilang kaum dan agama.

Mengulas dakwaan yang mengatakan Sosma menjejaskan hak asasi manusia, Musa berkata perkara berkenaan tidak benar sama sekali kerana mereka yang ditangkap di bawah undang-undang itu berhak membela diri.

Di bawah Sosma seseorang pegawai polis boleh, tanpa waran, menangkap dan menahan mana-mana tahanan selama 24 jam sahaja dan melanjutkan tempoh penahanan tidak lebih 28 hari bagi tujuan penyiasatan.

“Apabila siasatan telah dijalankan dan mempunyai keterangan kes maka orang yang ditangkap perlu dituduh di mahkamah dan sekiranya ada keterangan tetapi tiada bukti maka individu yang ditahan itu boleh dibebaskan.

“Sebagai contoh, individu yang terlibat dalam kesalahan di bawah Sosma sama ada disiasat mengikut kesalahan di bawah Bab VIA, VIB, kesalahan seperti melibatkan aktiviti pengganas atau pemerdagangan orang boleh dipakaikan Peranti Pemantauan Elektronik (EMD) pada kaki mereka untuk tujuan pemantauan,” katanya.

Mana-mana suspek yang ditahan perlu dimaklumkan kepada waris kadim, iaitu anggota keluarga yang terdekat dan membenarkan suspek yang ditahan berunding dengan pengamal undang-undang pilihannya untuk pembelaan.

“Di bawah Sosma tahanan masih ada peluang untuk membela diri dan ia tidak seteruk Patriot Act di Amerika Syarikat yang membenarkan kumpulan pengganas ditahan serata dunia termasuk 2 rakyat Malaysia yang didakwa terbabit dalam gerakan Al-Qaeda ditahan tanpa peluang membela diri di Pusat Tahanan Guantanamo Bay.

Menurut beliau, Sosma juga telah mengurangkan antaranya kes seperti gangsterisme, perjudian dan pelacuran dengan polis mengambil langkah pencegahan awal sebelum aktiviti itu menular dengan lebih meluas.

Musa berkata Sosma turut memainkan peranan penting dalam memelihara kedaulatan Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu serta kepentingan kaum-kaum yang mungkin tergugat sehingga boleh menimbulkan ancaman rusuhan kaum dan agama.

Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 dimansuhkan 31 Julai 2012 dan diganti dengan Sosma yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 17 April, 2012, diberikan perkenan Diraja pada 18 Jun 2012, dan diwartakan pada 22 Jun 2012.

Sebelum ini, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, E8 Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata undang-undang berkaitan keganasan negara ini adalah antara yang terbaik dan banyak membantu mengekang aktiviti kumpulan IS termasuk mematahkan sejumlah 23 cubaan mereka melancarkan serangan di Malaysia sejak 2013.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote