Ambil iktibar tragedi pusat tahfiz, kata Murshid

Presiden Murshid, Dr Zaharuddin Abd Rahman

Himpunan Para Ustaz dan Pendakwah (Murshid) mengingatkan orang ramai agar mengambil iktibar daripada tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung 14 Oktober lalu.

Presidennya Dr Zaharuddin Abd Rahman berkata, walaupun polis mengesahkan kejadian berlaku akibat perbuatan khianat sekumpulan remaja, pihak pusat tahfiz dan orang sekeliling sewajarnya mengambil sikap lebih berhati-hati bagi meminimumkan bencana.

Ini termasuk memastikan pusat tahfiz dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan.

Namun katanya, ciri-ciri keselamatan bukan hanya penting kepada pusat tahfiz sahaja malah ke atas setiap presmis yang didiami.

“Sebagaimana ditegaskan oleh pihak bomba, besarnya keperluan semua sekolah, bukan hanya tahfiz tetapi semua jenis sekolah yang berhimpunannya ramai pelajar untuk memastikan ciri keselamatan seperti ‘fire exit’ yang mencukupi serta mendapat kelulusan berwajib seperti bomba dan sebagainya.

Ini juga sebenarnya temasuk rumah yang kita diami sendiri juga.

“Justeru, pendaftaran rasmi serta permit dengan pihak berwajib adalah logik dan wajar. Sebaiknya ibu bapa memastikan dahulu ciri keselamatan minima ini wujud sebelum menghantar anak masing-masing ke sekolah terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Beliau juga berkata, orang awam harus pantas menghubungi bomba dan ambulans sejurus mendapati sebarang insiden kebakaran premis dan kediaman.

“Besar juga harapan kami agar ambulans dan bomba dapat terus berusaha menambah cemerlang lagi pencapaian untuk sampai ke lokasi kebakaran lebih cepat.

“Kalau boleh 10 minit ke bawah selepas dihubungi, sebagaimana di United Kingdom, seingat saya sasaran mereka adalah 8 minit,” katanya.

Selain itu beliau mengingatkan orang awam agar tidak ghairah menyebarkan gambar sadis tubuh mangsa yang terbakar atau video yang kedengaran jeritan mangsa.

“Ia bukan hanya memedihkan keluarga mangsa malah orang ramai yang turut boleh menjadi trauma dan terganggu emosi secara psikologinya,” katanya lagi.

Selain itu beliau juga menasihati orang rawami agar berhati-hati sebelum memberi pusat tahfiz kepada tahfiz terbabit kerana difahamkan wujudnya penipu yang cuba mengambil kesempatan atas simpati orang ramai.

Menyentuh mengenai perbuatan khianat sekumpulan remaja itu pula, beliau mengingatkan ibu bapa agar sentiasa mengawasi pergerakan dan tingkah-laku anaka-anak.

“Besarnya tanggungjawab ibu bapa untuk sedaya upaya mengetahui aktiviti anak-anak dan membuat tindakan pantas, walau memang sukar.

“Khususnya jika ia melibatkan apa jua jenis dasah dan arak. Kemabukan dan khayal dari keduanya itu memang boleh menambah besar potensi pengambilnya untuk hilang kewarasan dalam tindakan lalu bertindak di luar dugaan,” katanya.

Dalam kejadian 5.15 pagi itu, 21 pelajar berusia 6 hingga 16 tahun serta dua guru berusia 26 dan 25 tahun maut selepas terperangkap dalam kebakaran di tingkat paling atas bangunan tiga tingkat tersebut.

Pada sidang media malam tadi, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata tujuh remaja berusia antara 11 dan 18 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes kebakaran berkenaan.

Beliau berkata polis percaya motif kebakaran pusat tahfiz itu adalah dendam yang berpunca daripada perbuatan ejek-mengejek antara pelajar tahfiz tersebut dan pihak luar.

Enam daripada tujuh suspek juga positif dadah.

Kesemua mereka yang tidak bersekolah direman selama tujuh hari sehingga 22 Sept untuk siasatan lanjut.

CATEGORIES
TAGS