Malaysia Dateline

Ambil kembali mandat bukan kerana gila jawatan, tegas Presiden AMANAH

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menyifatkan usaha Pakatan Harapan (PH) Plus untuk mengambil alih kerajaan yang dirampas Perikatan Nasional (PN) bukannya kerana gila jawatan.

Pendirian serius beliau kepada Jawatankuasa Nasional AMANAH semalam dikongsikan kembali Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin.

Menurutnya, Mohamad yang juga mesra dipanggil Bang Mat berkata, Umno akhirnya tumbang sekali gus PH berjaya pada PRU14 lalu hasil kesatuan semua parti anggota.

“Berpuluh-puluh tahun kita bina jiwa rakyat untuk berani berubah. Bukan sedikit masa dan tenaga kita habis untuk runtuhkan kerajaan korup.

“Kita memerintah, walaupun kita tahu ada kelemahan dalam kerajaan kita, tapi kita belajar dan kita baiki untuk penuhi hasrat dan mandat rakyat. Tiba-tiba kerajaan kita dirampas. Kita nak biarkan begitu saja?” soalnya dalam nada serius seperti diceritakan Ustaz Zolkharnain.

Mohamad yang juga bekas Menteri Pertahanan berkata, tidak menjadi hal sekiranya beliau tidak dilantik menjadi menteri memandangkan hal paling penting adalah mendapatkan kembali mandat rakyat.

“Kita mesti ambil balik mandat ini. Bukan kerana kita gila jawatan. Saya tak jadi menteri pun tak apa, asalkan mandat rakyat ini diambil balik dengan segera.

“Ini soal mandat rakyat, bukan soal jawatan,” kata Mohamad seperti diulang Ustaz Zolkharnain.