Malaysia Dateline

Ambil kesempatan bekalan ayam kurang, scammer tipu pelanggan jual ayam murah di FB

Sebuah laman Facebook didakwa cuba mengambil kesempatan atas kekurangan stok bekalan ayam dengan menipu orang ramai kononnya boleh membekalkan ayam segar dengan harga yang murah.

Individu yang menggunakan nama ‘Pembekal Ayam Segar Zul’ didakwa telah memperdaya pelanggan dengan jualan harga murah sehingga RM5.90 seekor jika dibeli borong.

Harga ayam yang ditawarkan FB yang didakwa sebagai scammer

Perkara tersebut didedahkan sebuah syarikat pembekal ayam proses, Dwan Enterprise, yang mendakwa alamat syarikat mereka telah disalahguna oleh laman Facebook tersebut untuk menipu pelanggan.

Disebabkan itu kata syarikat tersebut, ramai yang menghubungi mereka dan bertanyakan tentang jualan ayam tersebut.

“Ramai dah tempah dengan dia (pembekal ayam segar Zul). Bila orang tanya pejabat di mana, scammer bagi nama syarikat kami. Bila orang Google (nama syarikat) keluar nombor telefon kami. Itulah yang teruk.

“Dari situ kami tahu ini scammer. Kami pun dah terangkan pada pelanggan, FB itu bukan kami punya.

“Dah lah ayam tak ada, scammer boleh tawar harga murah. Memang ramai lah yang tertipu,” kata salah seorang pekerja Dwan Enterprise yang mahu dikenali sebagai Biha.

Menerusi semakan Malaysia Dateline, Facebook ‘Pembekal Ayam Segar Zul’ masih lagi aktif sehingga hari ini dan menawarkan harga ayam secara borong untuk peniaga-peniaga kedai runcit dan restoran.

Mereka didapati menjual ayam RM8 seekor untuk pembelian 10 ekor, RM7.50 untuk pembelian 30 ekor, RM6.90 per (50 ekor), RM6.40 per (100 ekor) dan RM5.90 per (250 ekor).

Meninjau di ruangan komen, masih ramai lagi pengguna Facebook yang tidak mengetahui hal tersebut dan turut ingin membuat tempahan.

Sementara itu bercakap kepada Malaysia Dateline, Biha mendedahkan bahawa beberapa pelanggan telah memasukkan sejumlah wang kepada scammer berkenaan atas nama Rubi.

Dia turut meluahkan rasa kecewa kerana tindakan scammer berkenaan bakal merugikan lebih ramai lagi dan berharap orang ramai membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa pembayaran.

“Tak serik dia tu (scammer). Kalau order nanti dia bagi invoice. Siap ada resit rasmi. Penipu gila.

“Kami dinasihati pelanggan yang ditipu untuk buat laporan polis. Tapi buat masa sekarang laporan belum dibuat,” katanya

Baca juga: Misteri ‘chalet garuda’ alun ayat al-Quran dalam hutan di Selangor

Baca juga: Terlalu obses, bapa letak nama anak dengan watak anime