Ambil kira kedudukan dalam kerajaan, ahli MT Umno ingatkan Nazri

Ambil kira kedudukan dalam kerajaan, ahli MT Umno ingatkan Nazri

Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz diingatkan agar mengambil kira kedudukan beliau dalam kerajaan dan juga parti semasa berbahas dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Semasa memberi ingatan itu, Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata apa juga yang diluahkan oleh Mohamed Nazri semasa debat itu akan diberi perhatian oleh rakyat.

“Rakyat ingin melihat dasar dan polisi yang memberikan hasil kepada mereka dengan idea-idea bernas yang dilontarkan oleh kedua-dua pemimpin berkenaan dan bukan sesi menghentam terutama sekali Tun M (Dr Mahathir) yang lebih cenderung menghentam Perdana Menteri.

“Oleh itu, saya ingin ingatkan Mohamed Nazri bahawa anda mempunyai kepentingan dalam kerajaan dan BN. Jadi sila ambil kira apabila bercakap ketika dialog nanti,” katanya.

Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Tani berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri gotong-royong bersama lebih 100 petani dan kakitangan agensi di bawah kementeriannya di Sungai Manik dekat Teluk Intan, semalam.

Beliau mengulas Dialog Mahathir vs Nazri anjuran sebuah akhbar tempatan yang dijadual berlangsung pada 7 April di Auditorium Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam.

Menurut Tajuddin yang juga Anggota Parlimen Pasir Salak, walaupun Mohamed Nazri berdialog bukan atas nama parti mahupun kerajaan, ia tetap akan berkait dan memberi kesan kepada kerajaan dan BN sekiranya Menteri Pelancongan dan kebudayaan itu tersilap langkah.

COMMENTS

Wordpress (0)