Ambil kira kepentingan bahasa Melayu sebelum iktiraf UEC

Kementerian Pendidikan berkata, isu kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu diambil kira sebelum mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, sebarang impak daripada keputusan pengiktirafan UEC yang akan menjejaskan perpaduan serta keharmonian rakyat Malaysia juga diambil kira.

Sehubungan itu, beliau tetap mengutamakan pandangan daripada pelbagai pihak berhubung sijil yang dikeluarkan sistem Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) itu.

“Justeru, pandangan daripada pelbagai pihak adalah amat penting dan interaksi kementerian bersama pihak berkenaan tetap menjadi keutamaan saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, Johor itu pada 12 Julai lalu berkata, kerajaan tidak membuat pusingan-U dan menyeluruh apabila merancang untuk mengiktiraf UEC.

Bagaimanapun, banyak pihak yang menyokong sistem pendidikan kebangsaan menggesa kerajaan tidak melayan tuntutan UEC yang bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan itu.

Antaranya, termasuk tokoh sosiobudaya, Tan Sri Dr Rais Yatim menyelar keputusan terburu-buru itu memandangkan pelaksanaan UEC tidak mengikut sistem pendidikan kebangsaan.

Bahkan, Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berpendapat pengiktirafan UEC hanya akan merugikan pelajar Cina dari aliran kebangsaan kerana terpaksa bersaing dengan pemegang UEC.

Pada 13 Julai lalu, sekumpulan tokoh bahasa Melayu diketuai Datuk Dr Awang Sariyan bertemu dengan Maszlee manakala wakil Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong) berdialog dengan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Nie Ching yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu memberitahu beliau kini lebih tenang selepas mengetahui tidak keseorangan dalam perjuangan menuntut pengiktirafan UEC.

Beliau pada 8 Julai lalu berkata mahu UEC diiktiraf secepat mungkin sebelum hujung tahun ini kerana UEC tidak perlu dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan.

Pengiktirafan UEC adalah antara janji dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH) juga disertakan dalam manifesto BN.

Mendesak

Dong Jiao Zong sejak puluhan tahun lalu menolak sistem pendidikan kebangsaan dan mengenakan tekanan politik kepada parti pemerintah dan pembangkang setiap kali PRU dengan pelbagai tuntutan berkaitan bahasa dan sekolah Cina.

Sejarah pilihan raya umum (PRU) sejak sebelum merdeka menyaksikan Dong Jiao Zong dan pertubuhan Cina berdaftar, Hua Tuan menggunakan kesempatan setiap kali musim kempen mendesak kedua-dua pihak sama ada kerajaan dan blok pembangkang supaya mengiktiraf bahasa dan pendidikan vernakular.

Pada PRU 1955, Dong Jiao Zong mendesak Tunku Abdul Rahman mengiktiraf bahasa Cina sebagai bahasa rasmi kedua selain bahasa Melayu.

Penyata Razak pada 7 Mei 1956 yang menggariskan matlamat menyatukan semua bangsa di Malaya di bawah sistem pendidikan kebangsaan yang menggunakan bahasa kebangsaan juga ditolak.

SMPC kemudiannya berkembang selepas Dong Jiao Zong menolak Laporan Rahman Talib dan Akta Pelajaran 1961 yang dianggap kononnya menghapuskan bahasa dan pendidikan Cina.

Melangkah ke tahun 1970-an, Dong Jiao Zong menuntut penubuhan Universiti Merdeka yang menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar dan menampung pelajar lepasan sekolah Cina.

Pada dekad 1980-an, Dong Jiao Zong mengganggap perkembangan bahasa dan budaya Cina akan terjejas dengan pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) yang antara lain mengkehendaki penggunaan buku teks dalam bahasa Melayu di SRJK (C) bagi mata pelajaran Pendidikan Moral serta Alam dan Manusia supaya seragam dengan Sekolah Kebangsaan.

Dong Jiao Zong turut menolak keras cadangan konsep Sekolah Wawasan walaupun hanya melibatkan perkongsian kemudahan sekolah seperti kantin, padang, perpustakaan dan bilik guru kerana menganggap akan melenyapkan identiti SRJK (C) dan penggunaan bahasa Cina.

Menjelang PRU 1999, Jawatankuasa Suqui yang dianggotai persatuan-persatuan Cina serta parti pemerintah dan pembangkang menuntut pembinaan dan pemberian subsidi untuk perkembangan SMPC, mengiktiraf UEC serta mengiktiraf ijazah dari Universiti Nanyang serta universiti-universiti lain di China dan Taiwan.

8.5
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 8.0