Ambil langkah segera bina, pulihkan imej pihak berkuasa, kata MP Kepong

Lim Lip Eng bersama ibu mangsa yang ditikam lebih 30 kali oleh pembunuh yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menyeru supaya langkah segera diambil untuk membina semula imej agensi pihak berkuasa di negara ini.

Sehubungan itu, beliau menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini bahawa pasukan polis dan jabatan imigresen akan dirombak.

Kata Lip Eng, malam Selasa lalu, beliau telah menziarahi seorang kanak-kanak berusia tiga (3) tahun yang mati terbunuh akibat ditikam lebih 30 kali.

Katanya, beliau diberitahu, pembunuh bayi berkenaan adalah bapa saudara kanak-kanak tersebut yang dikenali sebagai seorang penagih dadah.

“Justeru, saya percaya pembunuh tersebut berada di bawah pengaruh dadah tatkala dia menikam kanak-kanak tersebut lebih 30 kali dengan dua bilah gunting.

“Ini bukan kes terakhir dan tidak akan menjadi kes jenayah kejam terakhir yang diakibatkan oleh dadah. Ia akan berterusan selagi bekalan dadah tidak dibanteras,” kata beliau dalam kenyataan medianya hari ini.

Jelas peguam DAP itu, umum mengetahui bahawa dadah haram mudah dibeli di jalanan.

Katanya, sebuah pasaraya di Jinjang, Kepong, berdekatan rumah kanak-kanak yang menjadi mangsa ini, dikenali sebgai tempat penagih dadah berpesat mendapatkan dadah.

“Hal ini berlaku sudah bertahun lamanya. Mereka yang datang untuk mendapatkan dadah akan berpesta di situ sehingga pagi pada hujung minggu.

“Dan pasaraya di Jinjang ini bukanlah satu-satunya tempat aktiviti dadah haram berlangsung. Terdapat banyak lagi tempat di luar sana kerana ia tidak diperiksa,” tambahnya.

Beliau mempersoalkan adakah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (NCID), sama ada di ibu pejabat polis Kuala Lumpur atau di Bukit Aman tidur tatkala bayi tersebut ditikam 30 kali?

Atau katanya lagi, adakah tokoh-tokoh lapuk dalam NCID itu hanya memejamkan mata terhdap aktiviti-aktivi seperti ini?

Ujar Lip Eng lagi, kejadian yang membawa kepada pembunuhan kanak-kanak berusia tiga tahun itu boleh dielakkan jika masalah dadah yang dihadapi oleh negara ini ditangani dengan serius.

4.0
OVERALL SCORE
1 user vote x 8.0
CATEGORIES