Malaysia Dateline

Ambil pengajaran dari pilihan raya Amerika, tolak pemimpin penipu

Rakyat Malaysia perlu mengambil pengajaran dari pilihan raya Presiden Amerika Syarikat bahawa mereka tidak boleh tertipu dengan pemimpin tertinggi yang sememangnya penipu.

LIM KIT SIANGDAP sentiasa difitnah

“Usaha pengeliruan, terutamanya daripada para pemimpin tertinggi politik, mestilah dilawan dan dibongkarkan,” kata veteran DAP Lim Kit Siang, antara mangsa pengeliruan fakta oleh musuh politiknya sebagimana Donald Trump cuba menipu rakyat Amerika.

“Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat ini perlu menjadi pengajaran kepada semua, apabila politik toksik perkauman, keagamaan, penipuan, fitnah, dan berita palsu ini dibenarkan untuk tersebar luas, usaha untuk membendung penularan dan membongkar berita-berita palsu dan penipuan yang muncul ini amatlah sukar,” kata ahli parlimen Iskandar Puteri itu.

Katanya, DAP telah menjadi sasaran kempen jangka panjang besar-besaran yang menyebarkan kekeliruan dengan tujuan untuk menggambarkan parti ini sebagai sebuah parti yang anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja.

“Sedangkan para propagandis dan tentera siber Umno ini tidak pernah pun dapat memberikan contoh di mana DAP bertindak anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja dalam lima dekad sejarah DAP,” katanya.

“Saya tidak pernah menuduh Umno sebagai sebuah parti yang anti-Cina, anti-India, anti-Buddha, anti-Kristian, atau anti-Hindu tetapi menuduh DAP sebagai anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja ini adalah mainan harian di kalangan pemimpin dan apparatus propaganda Umno,” kata beliau.

Masalah Umno, katanya, adalah selepas setengah abad negara merdeka, para pemimpin Umno telah lupa yang mereka sepatutnya berkhidmat untuk orang Melayu dan rakyat Malaysia, di mana kini mereka bertindak seakan-akan mereka adalah tuan kepada bukan sahaja orang Melayu tetapi kepada semua rakyat Malaysia juga.

“Saya tidak percaya ada mana-mana kaum, agama, mahupun budaya yang mahu melihat pemimpin mereka daripada kalangan kleptokrat mahupun melihat negara mereka dianggap di seluruh dunia sebagai sebuah kleptokrasi global,” katanya.

Katanya, seorang menteri dalam kerajaan Datuk Seri Najib Razak misalnya, pernah mengatakan sebelum PRU14 yang skandal kewangan 1MDB ini adalah satu “berita palsu”.

“Adakah menteri ini telah memohon maaf kerana menyebarkan penipuan ini?

“Malah, masih ramai rakyat Malaysia sehingga hari ini yang memercayai yang skandal kewangan 1MDB ini hanyalah satu berita palsu,” kata beiau.

Katanya, walaupun Donald Trump telah menjanjikan kepada pengundi di Amerika Syarikat dalam kempen beliau yang keadaan wabak Covid-19 di AS telah beralih arah, hakikatnya bertentangan sama sekali.

Setiap hari dalam minggu lepas, Amerika Syarikat telah mencatatkan rekod baharu peningkatan harian kes Covid-19 — dengan angka tertinggi dicatatkan semalam pada 121,054 kes baharu di Amerika Syarikat!

Malah, jumlah peningkatan kes harian global telah mencapai satu rekod baharu, dengan 601,958 kes dicatatkan semalam — di mana buat pertama kalinya wabak ini melepasi paras 600,000 kes baharu dalam sehari.

Bagi beliau, telah tiba masanya untuk rakyat Malaysia pulang kepada politik yang jujur, sopan, dan beradab yang berasaskan polisi dan program dan bukannya politik tidak jujur dan buruk yang berteraskan penipuan dan kebencian yang mengapi-apikan sentimen perkauman dan keagamaan.