Malaysia Dateline

Ambil sifat kasar orang Cina adun dengan hikmah dakwah

Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH Nasional, Ustaz Zolkharnain Abidin menyifatkan orang Melayu perlu mengadunkan sifat kasar yang secara umum dimiliki orang Cina terutama dalam berpolitik.

Menurut Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) itu, tabiat lembut pada orang Melayu seperti dapat dilihat ketika bercakap perlu diadun bersama ciri agresif dimiliki orang Cina dengan hikmah dakwah.

Ujarnya, pendekatan kaum Cina pula dilihat menjaga kepentingan sesama mereka berbeza dengan budaya politik Melayu yang cenderung mengkafirkan orang lain.

Beliau berkata, tabiat orang Cina lebih agresif termasuk dalam politik dengan bertindak segera melakukan perubahan seperti dapat dilihat pada keputusan PRU-14 dan PRK Parlimen Tanjung Piai lalu.

“Politik orang Melayu perlahan. Tengok Kelantan misalnya. Kerajaan negeri lemah setara mana pun, mereka tetap tidak agresif. Orang Melayu suka jaga hati dan hormat orang lain.

“Banyak perkara yang orang Melayu kena belajar dengan orang Cina. Terutama dalam politik. Orang Melayu main politik nak kafirkan orang. Tapi orang Cina main politik nak bela sesama mereka.

“Sebab itu, Islam tak ajar kita bermusuh dan berkelahi kerana berbeza bangsa. Quran sarankan kita kenal dan belajar dengan mereka.

“Mereka (orang Cina) kasar, ambillah kasar itu dari sudut positif. Kita lembut, adunkan kelembutan itu dengan hikmah dakwah. Kasar dan lembut, kedua-keduanya ada kelebihan dan kelemahan,” jelasnya dipetik dari Facebook beliau.

Beliau berkata demikian ketika mengulas insiden paparan Jalur Gemilang yang hanya mempunyai lima bucu bintang di skrin ketika majlis pembukaan Kejohanan Kebangsaan Bola Keranjang Piala Lum Mun Chak bawah 15 tahun anjuran Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ustaz Zolkharnain berpendapat tindakan wajar perlu dikenakan memandangkan insiden tersebut menghina negara.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan agar tiada mana-mana pihak meniupkan api perkauman kerana di mana-mana sahaja akan ada orang yang bermasalah.

“Ambillah tindakan wajar. Tindakan itu menghina negara. Tidak ada mana-mana pihak yang boleh mengatasi kehormatan negara.

“Tak perlu tiup sentimen kaum dengan kejadian itu. Orang perut busuk ada dimana-mana saja. Jika semua orang perut wangi, maka tak adalah orang yang perlu jadi polis, hakim dan pegawai penjara,” tambahnya lagi.

Sejak kelmarin, video yang memaparkan Jalur Gemilang dengan bintang pecah lima berdurasi seminit 42 saat itu tular di media sosial dan mengundang kecaman orang ramai.