Malaysia Dateline

Ambil sikap tanggungjawab, perkukuh ilmu kepimpinan

Lebih mengambil sikap bertanggungjawab, Wanita AMANAH Nasional (AWAN) bersikap terbuka mengakui kelemahan pergerakan sayap Wanita itu dalam meyakinkan para perwakilan terhadap kepimpinan mereka.

Ketua AWAN, Aiman Athirah Al Jundi menegaskan, Wanita perlu menyedari bahawa ruang sentiasa ada untuk mengangkat mereka sebagai pemimpin, namun peluang itu sering ditolak.

Malah katanya, kurangnya kesediaan Wanita dalam memimpin sebagai faktor golongan itu kadangkala di lihat sepi dalam pimpinan.

“Secara jujurnya ini mesej kepada wanita. Kita menyedari bahawa kadangkala perkara berlaku disebabkan kurang kesediaan para pimpinan wanita untuk mengambil bahagian dan menggalas tanggungjawab besar.

“Adakalanya ruang diberikan oleh pimpinan lelaki, tetapi jujur, di sana wujudnya pula penolakan.

“Ini berlaku di seluruh dunia. Saya mohon wanita ambil sikap menambah ilmu dan kepimpinan perlu menguasai kemahiran pimpinan secara menyeluruh dalam politik yang akhirnya kita kena kembali berkhidmat pada kawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi ucapan penggulungan Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, semasa Majlis Konvensyen Nasional 2019 AMANAH, di Pusat Konvensyen Ideal Centre (IDCC), hari ini.

Namun begitu, Ahli Dewan Negara itu bagaimanapun terus menyentuh agar kebolehan Wanita dimanfaatkan dalam membantu urus tadbir parti.

Senator itu turut menzahirkan penghargaan terhadap beberapa kawasan yang mengangkat Wanita menjawatan jawatan sebagai Ketua Kawasan seperti di Rembau dan Subang.