Ambil tanah, mengapa perlu roboh rumah warisan Melayu 118 tahun, soal Raja Kamarul Bahrin

Ambil tanah, mengapa perlu roboh rumah warisan Melayu 118 tahun, soal Raja Kamarul Bahrin

Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah melahirkan kekecewaannya apabila kerajaan negeri Terengganu tidak mempertahankan warisan rumah tradisional Melayu berusia 118 tahun di Kampung Tanjung Pantai yang dirobohkan pada Rabu (semalam).

Beliau berkata, tuan rumah yang dikenali sebagai Wan Mokhtar telah duduk bersendirian sejak 2018 selepas bekalan air dan elektrik dipotong semata-mata untuk memastikan rumah itu tidak dirobohkan.

Malangnya usaha pemilik rumah itu berakhir dengan kekecewaan apabila melihat sendiri rumah pusaka peninggalan keluarganya dirobohkan oleh agensi kerajaan negeri seperti Jabatan Kerja Raya dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu

“Berita serta visual sebuah rumah tradisi Melayu Terengganu berusia 118 tahun dihancurkan oleh jentera Kerajaan Pemerintah Negeri Terengganu amat menyayat hati rakyat seluruh negara.

“Inilah rumah Melayu tradisi Terengganu terakhir di kampung Tanjung Pantai yang telah dirobohkan Kerajaan Negeri Terengganu.

“Persoalannya, walaupun kerajaan telah ambil balik tanah ini, mengapa mesti rumah tradisi Melayu berusia 118 tahun menerima penghinaan sebegitu rupa seperti merobohkan reban ayam.

“Dimana letaknya maruah Warisan Budaya Orang Melayu Terengganu? Di mana letaknya budi bicara Islam di Terengganu Darul Iman?

“Kenapa tidak rumah ini dibuka secara perlahan dengan sistematik untuk membolehkan ianya dipasang semula di tapak baru oleh Tuan asalnya?,” ujarnya dalam dalam kenyataan hari ini.

Raja Kamarul Bahrin yang juga seorang arkitek profesional berkata, senibina Rumah Terengganu memang unik dan terkenal dengan cara pemasangan pasang siap,  di mana ia boleh dibuka dalam masa hanya satu hari.

“Kenapa pihak Muzium Negeri dan Badan Warisan Malaysia tidak dirujuk?Tidakkah Bandaraya Kuala Terengganu mempunyai bahagian warisan dan penyelidikan?,” soalnya lagi.

Pengerusi AMANAH Negeri Terengganu ini juga berkata, kerajaan negeri yang dipimpin Pas selema ini melaungkan semangat Islam dan Melayu,nampak jelas ianya bersifat ritorik dengan musnahnya rumah warisan berusia 118 tahun itu.

“Dahulu Pas tuduh Kerajaan Umno zalim roboh rumah rakyat dan Masjid secara kasar? Kenapa mereka mengamalkan budaya yang sama semasa sudah berkuasa?

“Adakah ianya slogan kosong semata-mata mengejar “pembangunan” yang tidak menguntungkan rakyat biasa?

“Bukankah Pas dan Umno hari ini membela Islam-Melayu bersama? Atau adakah Islam-Melayu yang tidak berada serta miskin tidak sepenti Melayu berpengaruh dan kaya di bawah Umno warisan Melayu Kuala Terengganu dimusnahkan. Di bawah Pas nasibnya kelihatan sama,” katanya.

Raja Kamarul Bahrin yang juga Timbalan Menteri di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, juga mengingatkan kepada kerajaan negeri bahawa dua buah  kampung tradisi Terengganu bernama Kampung Ladang Tok Pelam yang penuh kraf tradisi telah lama musnah dan Kampung Tanjung pula lebih separuh sudah musnah.

“Rumah Melayu terakhir berusia 118 tahun di Kampung Tanjung Pantai baru dihancurkan secara tidak bermaruah semalam.

“Pasar Payang juga menghitung hari tunggu giliran dirobohkan.

“Kemanakah Warisan Melayu tempatan Terengganu akan mencari tempat berlindung ? Adakah mereka akan mengalami nasib sama penyu Terengganu yang hampir pupus?

“Penyu Terengganu telah lama menangis tanpa pembelaan di ambang terancam kepupusan.

“Nampaknya rakyat Terengganu yang cintakan Warisan akan terus menangis menanggung kesedihan kehancuran Budaya Warisan Melayu nenek moyang mereka seperti penyu kita.

“Sementara Pas dan Umno makin bersemangat berkobar-kobar melaungkan ‘Hidup Melayu’, persoalannya Melayu manakah yang mereka ingin dibela?” soalnya lagi.