Ambil tindakan menteri sebar khabar angin serangan pengganas

Ambil tindakan menteri sebar khabar angin serangan pengganas

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Angkatan Muda KEADILAN mendesak polis mengambil tindakan terhadap Menteri Wilayah Pesekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor kerana menyebarkan khabar angin berhubung sasaran pengganas di Kuala Lumpur.

Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan berkata, kenyataan tidak bertanggungjawab menteri berkenaan mendatangkan implikasi besar memandangkan Tengku Adnan ialah seorang anggota kabinet.

“Kami menyambut baik saranan polis agar masyarakat tidak mudah mempercayai khabar angin yang tersebar sama ada melalui laman sosial ataupun buah mulut orang ramai.

“Namun begitu, perlu ingatkan di sini bahawa antara yang jelas telah menyampaikan kenyataan palsu adalah Menteri sendiri, iaitu Tengku Adnan Mansor,” tegas beliau.

Menurut Nik Nazmi, dalam satu sidang media baru-baru ini, Tengku Adnan mendakwa kononnya beberapa kawasan di sekitar Kuala Lumpur telah menjadi sasaran pengganas.

Bagaimanapun kenyataan menteri itu, ujar beliau telah dinafikan pihak polis.

“Ini merupakan satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan sehingga kini masih ramai yang menyebarkan kenyataan ini sehingga mengakibatkan keresahan orang ramai tentang perihal keselamatan negara.

Tengku Adnan Tengku Mansor“Jika benar pihak polis mengambil serius tentang penyebaran maklumat dan berita palsu, mereka harus bertindak tegas terhadap Tengku Adnan kerana kata-kata seorang Menteri pasti memberi implikasi yang besar,” jelas beliau.

Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor itu juga menambah, sudah sampai masanya seseorang Menteri bertanggungjawab terhadap kata-kata yang diungkapkan.

Tengku Adnan baru-baru ini mendakwa wujud ancaman pengganas di beberapa kawasan “hotspot” di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun polis dalam satu kenyataan media 17 Januari lalu menegaskan tidak pernah menyebut secara spesifik lokasi di Kuala Lumpur yang menjadi sasaran pengganas.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Datin Asmawati Ahmad berkata, pihaknya mendapati pelbagai kenyataan dibuat melalui rangkaian komunikasi sosial yang menyebut secara khusus beberapa lokasi yang kononnya telah disahkan menjadi sasaran kumpulan pengganas untuk melakukan serangan di Malaysia.

“Masyarakat dinasihati agar tidak mudah percaya dan berhenti dari berkongsi berita yang boleh membangkitkan keresahan.

“PDRM memandang berat sebaran berita sebegini kerana ia telah membangkitkan kegusaran dan ketakutkan masyarakat secara keterlaluan,” katanya.

TAGS