Malaysia Dateline

Ambil tindakan tegas, Iklan Sugarbook sabotaj mahu burukkan kerajaan

Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan menggesa agar tindakan tegas diambil berhubung penularan dua iklan LED berunsur lucah baru-baru ini, yang mempromosi aplikasi pengurusan bisnes pelacuran kelas atasan.

Ketua Pemudanya, Asmaaliff Abdul Adam, berkata, kesilapan yang dilakukan tersebut dilihat sebagai usaha yang sengaja mensabotaj untuk memburukkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Kenyataan yang dikeluarkan tanpa sebarang kalimah mohon maaf adalah amat mengecewakan apabila ditimbang dengan berat isu yang berlaku ini.

“Mempromosi pelacuran baik kelas atasan mahupun kelas rendah, tidak dapat diterima akal yang sihat, apatah lagi mana-mana agama.

“Kita yakin perkara ini tidak akan berlaku melainkan sabotaj dalaman untuk memburukkan kerajaan Pakatan Harapan hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya lagi, di era keterbukaan dan ketelusan Malaysia Baru, kerajaan sewajarnya menjuarai semangat yang sama dalam membentangkan agenda reformasi dan penambahbaikan yang berlaku secara berperingkat.

Malah, Asmaaliff berkata, sekiranya DBKL memiliki kuasa untuk mengarahkan penurunan iklan tersebut, bererti DBKL juga memiliki bidang kuasa dalam mengawal kejadian sebelum berlaku.

“Justeru, Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan menggesa agar pihak yang bertanggungjawab dalam rantaian proses pemasangan iklan tersebut diberi hukuman & tindakan yang tegas.

“Pada waktu yang sama, kita juga menggesa agar proses kelulusan diperhalusi bertujuan insiden yang sama tidak berulang,” ujarnya.