AMCJL hantar memo desak KPN ekstradisi Jho Low ke Malaysia

Sekretariat Anak Muda Cari Jho Low (AMCJL) hari ini menghantar memorandum kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Fuzi Harun di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan menyeru rakyat membuat petisyen untuk mendesak Jho Low disiasat pihak berkuasa negara.

Serahan memorandum itu bertujuan menuntut pihak polis bekerjasama dengan kerajaan di seluruh dunia bagi membolehkan lelaki paling dikehendaki susulan dakwaan terbabit dengan skandal penyelewengan dana  syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

AMCJL merujuk lelaki tersebut sebagai ahli perniagaan yang dikenali sebagai Jho Low atau nama sebenarnya Jho Taek Low agar pihak polis boleh mengekstradisi beliau ke Malaysia bagi tujuan siasatan lanjut negara ini.

Kehadiran sekumpulan ahli AMCJL di perkarangan pintu masuk Bukit Aman tepat jam 2 petang ini diketuai Mohd Shazni Munir.

Mohd Shazni yang juga naib ketua Pemuda AMANAH berkata, sudah tiba masanya pihak berkuasa Malaysia terutama ketua polis negara memandang serius mengenai skandal 1MDB.

“Kes 1MDB ini mencemarkan nama baik negara kerana media antarabangsa memperlekehkan kredibiliti penguatkuasaan negara ini kerana gagal menyelesaikan isu ini secara tuntas.

“Isu ini bukan sekadar isu politik tetapi dari sudut kredibiliti negara, skandal 1MDB ini menyebabkan Malaysia menerima cemuhan antarabangsa,” ujarnya dalam sidang media selepas menyerahkan memorandum.

Memorandum itu diterima pegawai polis Bukit Aman, DSP Norsuzila Kamaruddin.

Shazni menyerahkan memorandum kepada DSP Norsuzila Kamaruddin.

Menjawab pertanyaan media, Mohd Shazni  berkata, desakan perlu dilebarluaskan kepada rakyat dan bukan sahaja membabitkan parti politik atau pertubuhan bukan kerajaan seperti AMCJL.

Justeru beliau mencadangkan agar satu petisyen dilaksanakan oleh rakyat bagi mendesak pihak berkuasa mengambil serius isu berkaitan 1MDB dan Jho Low yang membabitkan individu yang digelar ‘Malaysian Official No 1’ (MO1) oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).

“Kita akan terus berkomunikasi dengan pihak polis, dari semasa ke semasa untuk tahu progres memorandum ini. Kita fahami kekangan yang ada. Sebagai warganegara kita berhak menyuarakan pandangan.

“Saya minta anak muda dan orang ramai jika boleh adakan petisyen secara bebas mendesak Jho Low di bawa ke muka pengadilan. Dengan membawa Jho Low ke muka pengadilan kita akan tahu sejauh mana terkaitnya MO1 dalam skandal 1MDB, sejauh mana kebertanggungjawaban kabinet dalam isu ini,” ujarnya.

9.0
OVERALL SCORE
: 8.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS