Malaysia Dateline

Amerika henti import minyak sawit, dakwa FGV guna buruh paksa

Amerika Syarikat menghentikan import minyak sawit dari negara ini selepas FGV Holdings Bhd (FGV) didakwa menggunakan buruh paksa dalam proses pengeluaran produknya, kata agensi Kastam AS dan Perlindungan Sempadan (CBP), Amerika Syarikat.

Lapor Reuters, sekatan itu hasil daripada siasatan selama setahun yang membongkar wujudnya penggunaan buruh paksa sehingga melanggar hak asasi manusia seperti keganasan fizikal dan seksual, ugutan, dan menyorok dokumen pengenalan diri pekerja.

Siasatan itu juga mendedahkan kemungkinan besar kanak-kanak telah digunakan dalam proses pengeluaran produk FGV dan dipaksa bekerja, kata CBP dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa pemberhentian import minyak sawit akan berkuatkuasa serta-merta.

Bagaimanapun FGV dikatakan masih belum menjawab dakwaan berkenaan.

“Penggunaan buruh paksa dalam pengeluaran produkbmembolehkan syarikat mendapat keuntungan dari penyalahgunaan pekerja,” kata Brenda Smith, Penolong Pesuruhjaya Eksekutif pejabat perdagangan CBP.

Indonesia dan Malaysia adalah dua syarikat pengeluar minyak sawit terbesar dan industri itu juga dipersalahkan atas penebangan hutan dan pemusnahan habitat semula jadi.

Sementara itu, Smith mengakui CBP menerima banyak dakwaan berkaitan industri minyak sawit dan meminta pengimport AS untuk meneliti amalan buruh dari pembekal mereka.

“Saya mencadangkan agar pengimport AS yang berniaga dengan pengeluar minyak sawit melihat rantaian bekalan mereka dan banyak bertanya mengenai amalan buruh mereka,” kata Smith lagi seperti dipetik Reuters.